India Batal Perlawanan Persahabatan Dengan Malaysia

NEW DELHI, 18 Jun (Bernama) — India terpaksa membatalkan dua perlawanan persahabatan dengan Malaysia dan Filipina pada September berikutan berlangsungnya beberapa acara lain pada tempoh yang sama, menurut satu laporan.

Sementara Persekutuan Bola Sepak Seluruh India berusaha untuk memasukkan perlawanan itu dalam kalendar bola sepak Asia, namun dua acara penting – Piala AFC dan Piala SAFF – dijadualkan pada September terpaksa diutamakan, demikian The New Indian Express menyebut setiausaha agung persekutuan itu Kushal Das sebagai berkata.

Piala SAFF lapan negara ditetapkan pada 1-11 Sept di Kathmandu, Nepal, sementara perlawanan suku akhir Piala AFC – yang turut menampilkan Benggala Timur – dijadualkan pada 17-24 September.