Harimau Selatan sedia gempur Tok Gajah

Johor Bahru: Johor Darul Takzim (DT) tampak sudah bersedia menggempur habis-habisan kubu Pahang dalam pemburuan ke final apabila kedua-dua pasukan bertembung pada separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Keputusan menjadikan Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai gelanggang berkecuali nyata disambut baik ketua jurulatih, Fandi Ahmad yang menganggap kekuatan Johor DT dan Pahang tampak seimbang kerana tiada kelebihan dimiliki kedua-dua pasukan, sebaliknya percaturan taktikal mantap menjadi pertaruhan untuk layak ke final menentang Kelantan, 29 Jun ini.

Yang pasti benteng skuad Harimau Selatan kembali ampuh selepas kapten Kamarul Afiq Kamaruddin yang mengalami kecederaan sudah pulih sepenuhnya walaupun ketika tersenarai pada aksi di Stadium Darul Makmur, Selasa lalu, dia tampak masih belum cergas.

“Benteng kembali kukuh selepas Kamarul Afiq bebas daripada kecederaan dan saya yakin kombinasi pemain itu bersama Aidil Zafuan Abd Radzak berupaya menyekat setiap asakan lawan.

“Tanpa Mohd Farid Ramli yang digantung satu perlawanan, Irfan Abd Ghani mungkin diturunkan di posisi bek kiri dan saya yakin dia mampu menghalang R Surendran yang memiliki larian pantas dan bijak memperdaya barisan pertahanan.

“Peluang Johor DT dan Pahang seimbang kerana beraksi di padang berkecuali namun kita ada kelebihan hasil kemenangan 1-0 pada separuh akhir pertama dan kita akan turun habis-habisan untuk mencari gol lagi. Tiada corak bertahan sepanjang perlawanan itu,” katanya.

Di sebalik buruan skuad Harimau Selatan di bawah pengurusan Persatuan Bola Sepak Johor (PBNJ) untuk mengulangi kejayaan Johor ketika merangkul kejuaraan Piala FA musim 1998, perancangan taktikal ampuh dan formasi mantap menjadi penentu buat Fandi merealisasikan impian 15 tahun.

Sandaran memastikan langkah ke final tidak tersekat pastinya pada kelibat Norshahrul Idlan Talaha yang sudah meledak tujuh gol sepanjang kempen Liga Super dan Piala FA bakal dijadikan taruhan terbaik Harimau Selatan sambil dibantu Leonel Nunez menggempur benteng skuad Tok Gajah.

“Elak tambahan masa, itu yang saya harapkan kerana kita tidak mahu perlawanan berlanjutan 30 minit lagi. Paling utama pemain harus fokus dan elak membuat kesilapan mudah,” kata Fandi.

Saksikan perlawanan ini secara streaming di sini.