Harimau Muda tetap fokus

Kuala Lumpur: Pengendali Harimau Muda A, Ong Kim Swee tetap fokus meneruskan perancangannya untuk memastikan skuad bawah 23 tahun negara mampu mengekalkan pingat emas buat kali ketiga berturut-turut di Sukan SEA Myanmar penghujung tahun ini.

Malah pengendali dari Melaka itu tidak sesekali terganggu dengan sebarang cubaan, pandangan atau kritikan dilontarkan terhadap skuad kendaliannya. yang kini sedang berkelana menimba pengalaman di Eropah sejak Mac lalu.

“Segala yang saya rancang dan laksanakan perlu dinilai selepas saingan Sukan SEA pada Disember nanti kerana itu matlamat ditetapkan. Apa yang dilakukan sehingga Disember seperti program latihan di Eropah, Sukan Universiti Dunia dan sebagainya akan terjawab (pada Disember) sama ada ia betul, salah atau perlu diperbaiki. Saya tidak akan lari (selepas Disember) kerana ia tanggungjawab saya,” katanya ketika dihubungi semalam.

Jelasnya, tempoh lima bulan pemain Harimau Muda A menentang kelab profesional memberikan aksi berintensiti tinggi walaupun berdepan dengan pasukan divisyen dua kerana menyediakan pengalaman dan pengajaran cukup berguna untuk pemain apabila tiba masanya.

Baru-baru ini kunjungan ke Eropah mendapat pandangan negatif segelintir pihak sehingga ada yang mempersoalkannya.

“Kunjungan ke Eropah salah satu faktor yang mencetuskan kejayaan kita. Semua perlawanan yang kami harungi di Slovakia, Republik Czech dan Austria berintensiti tinggi dan bermutu, sesuatu yang sukar diperoleh jika tidak bertandang ke Eropah,” katanya.

Pendedahan berterusan skuad Harimau Muda A negara sudah terbukti apabila berjaya menggilap bakat pemain tempatan sehingga dipancing kelab luar negara seperti Nazmi Faiz Mansor (SC Beira-Mar, Portugal), Wan Zack Haikal Wan Nor dan Nazirul Naim (FC Ryukyu, Jepun) serta beberapa pemain lain lagi.

Mengenai perkembangan semasa Harimau Muda A, Kim Swee berkata, masih terdapat beberapa perkara yang perlu diperbaiki namun mereka berada pada landasan tepat.

“Beberapa muka baru yang dibawa jelas masih memerlukan pendedahan berterusan berbanding pemain lama kerana mereka sudah berada pada peringkat tertentu dan membiasakan diri di tahap tertinggi. Jadi pendedahan ini secara tidak langsung memberikan persediaan sepatutnya untuk mereka seandainya pemain utama mengalami kecederaan ketika Sukan SEA berlangsung,” katanya.

Harimau Muda A yang berpangkalan di Slovakia kini berada di Austria dan kelmarin mereka tewas 2-4 kepada Vienna FC apabila melepaskan tiga gol dalam tempoh 10 minit pada babak kedua perlawanan. [MyMetro]