Harimau Muda diuji dengan 5 lagi perlawanan di Eropah

LIMA lagi aksi persahabatan bakal menanti Harimau Muda di bumi Eropah sebagai persiapan menjelang temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2013 di Kazan, Rusia dari 6 hingga 17 Julai depan.

Pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee berkata, kelima-lima perlawanan itu diadakan bertujuan untuk memperbaiki kelemahan dan mempertajamkan taktikal skuad muda negara.

“Selain itu, ia juga bagi mengenal pasti senarai terakhir skuad negara sebelum ke Rusia.

“Pada masa sama, senarai pemain yang akan dipanggil dari Malaysia untuk menyertai Harimau Muda di Slovakia sebelum ke Rusia juga akan dikeluarkan pada pertengahan bulan ini,” kata Kim Swee menerusi Twitter peribadinya semalam.

Kim Swee memberitahu, kelima-lima aksi persahabatan itu merupakan medan terbaik beliau menyediakan skuad yang mantap sebelum membuka tirai temasya Universiade berdepan Itali pada 5 Julai depan.

Hari ini, anak-anak buah Kim Swee bakal diuji skuad Duslo Sala sebelum berdepan Ruzemberok (15 Jun) dan Banska Bystrica (18 Jun) di Slovakia.

“Selain itu, kami juga bakal berdepan dua lagi aksi persahabatan di Vienna, Austria pada 22 dan 26 Jun ini,” katanya.

Untuk rekod, skuad muda negara hanya melakar satu kemenangan, dua seri dan selebihnya tewas sepanjang 10 aksi persahabatan di sana setakat ini.

Mereka hanya mengatasi kelab Republik Czech, Slavia Praha 2-1 sebelum ditewaskan Sparta Praha 0-1 di Prague baru-baru ini.

Selain tumpas 0-3 dan 0-4 kepada dua kelab Hungary, Kaposvari FC dan FGSZ Siofok, mereka juga tewas sebanyak dua kali dalam dua pertemuan menentang kelab Slovakia, MSK Zilina (1-4 dan 2-3) serta dibelasah 1-7 oleh skuad bawah 21 tahun (B-21) Georgia.

Anak-anak buah Kim Swee turut tumpas 0-2 kepada kelab Divisyen Satu Slovakia, Nitra FC
Taring skuad Harimau Muda juga tampak tumpul apabila sekadar melakar keputusan seri 1-1 dengan skuad B-19 Slovakia serta terikat tanpa jaringan ketika berdepan B-19 Norway pada aksi persahabatan sebelum ini.

Siri ujian persahabatan itu merupakan medan pemanas badan skuad muda negara sepanjang ‘berguru’ selama lima bulan di Eropah sebagai persiapan awal mempertahankan pingat emas pada temasya Sukan SEA 2013 di Myanmar, Disember depan.