Harimau Malaya diperlekeh akhbar Australia

Kuala Lumpur: Skuad kebangsaan seolah-olah diperlekehkan media tempatan di Canberra, Australia selepas kecundang 2-3 dalam aksi persahabatan menentang Canberra FC kelmarin.

Akhbar The Canberra Times memilih menggunakan tajuk “pemain sambilan raih kemenangan ke atas pasukan kebangsaan” (part-timers steal win over internationals) selain menggambarkan kelab divisyen dua Australia itu tidak gentar menentang skuad berstatus kebangsaan.

Ini mungkin hadiah alu-aluan buat skuad Datuk K Rajagobal yang gemar memilih Australia sebagai destinasi kem latihan sedangkan beberapa pemerhati bola sepak seperti Khalid Ali mempertikaikannya kerana membuang duit dan masa kerana kelab yang ditentang bukan daripada liga utama kebangsaan.

Apa yang mengecewakan, sedang Singapura dan pasukan jiran lain berlumba memperbaiki ranking dengan mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa berstatus A, Rajagobal termasuk pengurus Datuk Seri Subahan Kamal berkeras mahu ke Australia.

Inilah hasilnya. Satu pasukan kelab terdiri daripada pemain bekerja sambilan mengaibkan sebuah pasukan kebangsaan yang juga bekas juara Piala AFF. Cukup memalukan imej Malaysia.

Persoalannya, siapakah individu atau agensi yang mengaturkan siri perlawanan Malaysia di sana dengan kelab-kelab pemain sambilan yang kemudian diiktiraf pula Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). Apapun yang nyata, sekalipun berdepan kelab yang pemainnya mungkin bekerja sebagai mekanik, peladang, penternak biri-biri atau jurujual insuran, skuad Rajagobal ketinggalan 0-2 pada separuh masa pertama.

Alex Oloriegbe membuka jaringan pada minit ke-28 disusuli Ryan Keir pada minit ke-34 yang mudah menolak bola untuk membolosi gawang negara yang dikawal Norazlan Razali.

Rajagobal dalam reaksinya tetap puas hati dan menyifatkan perlawanan itu cukup kompetitif.
“Bagi saya ini satu perlawanan yang kompetitif dan secara keseluruhan berpuas hati dengan persembahan pemain. Pemain menunjukkan karektor yang bagus walaupun ketinggalan dua gol dan babak kedua kita bangkit untuk bermain lebih agresif,” kata Rajagobal.

Jelas Rajagobal, aksi menentang Canberra FC yang pertama untuk skuad kebangsaan selepas perlawanan persahabatan menentang Palestin pada Mac dan pemain gagal menjelmakan persembahan yang diharapkan pada separuh masa pertama.

Penyerang Johor Darul Takzim (DT), Safee Sali yang dimasukkan pada babak kedua mencetuskan kebangkitan skuad negara apabila meledak dua gol pada minit ke-61 dan 85 sekali gus membuktikan sentuhannya masih berbisa walaupun sering memanaskan bangku simpanan ketika bersama kelab di saingan domestik.

“Saya puas hati dengan aksi Safee kerana kemampuannya menjaringkan dua gol. Saya harap dia serta pemain lain dapat mempamerkan rentak lebih baik dalam perlawanan seterusnya.” Bagaimanapun harapan meraih keputusan seri tidak kesampaian apabila penyerang gantian Philippe Bernabo memastikan kemenangan tuan rumah apabila menewaskan Mohd Farizal Marlias di gawang skuad negara selepas dijatuhkan pada masa kecederaan separuh masa kedua.

Skuad negara dijadual meneruskan baki dua aksi persahabatan menentang kelab divisyen dua Australia dengan Sydney Olympic menanti pada Selasa diikuti Sydney United dua hari selepas itu.