Harimau Malaya akan buktikan Oktober ini

“Jangan kita terlalu cepat melatah,” kata pengurus skuad Harimau Malaya, Datuk Seri Subahan Kamal yang meminta pengkritik dan peminat bola sepak tanah air lebih bersifat positif.

Dia beranggapan kecaman memuncak sejurus selepas skuad bimbingan Datuk K Rajagobal tewas 2-3 kepada Canberra FC, Khamis lalu sebagai agak keterlaluan tanpa memberi ‘ruang nafas’ kepada skuad Harimau dalam perlawanan persahabatan pertama sempena kem latihan dua minggu di Canberra dan Sydney, Australia.

Saya harap peminat dan pengkritik tidak melihat dari sudut negatif. Tak guna jika kami menang sekarang tetapi pada kejohanan sebenar tewas.” Datuk Seri Subahan Kamal

Sebaliknya Subahan yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melaungkan janji bahawa segala persiapan dan perancangan pasukan negara ketika ini pasti akan membutirkan hasil apabila saingan Kelayakan Piala Asia 2015 bersambung, Oktober ini.

“Saya harap peminat dan pengkritik tidak melihat dari sudut negatif. Tak guna jika kami menang sekarang tetapi pada kejohanan sebenar tewas.

“Kami tahu apa yang kami buat. Yang penting saya mahu pasukan menang pada perlawanan di tempat sendiri menentang Bahrain (15 Oktober) dan Qatar (19 November). Ini peluang terbaik untuk kita layak ke pusingan akhir Piala Asia 2015. Kami akan buktikan,” kata Subahan ketika dihubungi di Sydney, semalam.

Skuad Harimau Malaya akan meneruskan aksi kedua bertemu kelab Liga Perdana NSW, Sydney Olympic di Belmore, Sydney, 5 petang ini (7 malam waktu Australia) dan kemenangan amat diperlukan bagi mengelak terus menerima kritikan.

Keupayaan sebenar barisan 26 pemain pilihan Rajagobal untuk menumbangkan Sydney Olympic bakal teruji memandangkan skuad kebangsaan Australia pernah membelasah kelab berkenaan 7-2 pada aksi persahabatan, 15 Mei lalu.

“Ketika mereka tewas 7-2 kepada Australia, aksi babak pertama terikat 2-2. Jadi nampak kuat juga sebenarnya kelab ini. Apa pun saya harap kita akan menang ke atas Sydney Olympic dan dapat memperlihatkan gandingan terbaik di setiap posisi,” tegas Subahan.

Dalam pada itu, mengenai pertukaran pasukan lawan iaitu Sydney Olympic dan bukannya Sydney United seperti dinyatakan pada sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya, 28 Mei lalu, Subahan berkata: “Mungkin saya tersilap sebut Sydney United ketika itu selepas mendapat maklumat daripada penolong jurulatih, Tan Cheng Hoe. Jadi memang mengikut jadual kita bertemu Sydney Olympic ini.”

Skuad Harimau Malaya bakal menamatkan siri tiga aksi persahabatan di Australia dengan bertemu juara Liga Perdana NSW musim lalu, Marconi Stallions, Khamis ini.

Jadual hari ini: 5 ptg waktu Malaysia
Harimau Malaya mln Sydney Olympic
(Stadium Belmore, Sydney)