Harga petrol di Indonesia dijangka naik 33 peratus

JAKARTA – Parlimen Indonesia dijangka meluluskan bajet bagi memotong subsidi petrol yang dilaksanakan oleh pemerintah.

Langkah tersebut dijangka dapat menjimatkan sehingga beberapa bilion dolar, sekali gus mengurangkan beban perbelanjaan negara.

Namun, rancangan itu turut mencetuskan kemarahan dan tunjuk perasaan oleh rakyat yang rata-ratanya, menentang kenaikan harga petrol.

Parlimen Indonesia dikatakan bakal meluluskan pemotongan subsidi itu semalam.

Langkah tersebut turut melibatkan pemberian wang tunai berjumlah sekitar AS$900 juta (RM2.8 bilion) kepada penduduk miskin di negara itu.

Ia bagi membantu menampung 33 peratus kenaikan harga petrol susulan pemotongan subsidi tersebut.

Setakat ini, bantahan berlaku di beberapa bandar raya utama di Indonesia dengan penunjuk perasaan kerana membantah kenaikan harga petrol itu.

Di sini, lebih 18,000 anggota polis dan askar dikerahkan bagi mengawal ketenteraman.

Pada 2011, subsidi bahan api termasuk petrol melibatkan kos hampir AS$20 bilion (RM62.6 bilion), sekali gus menyamai bajet untuk infrastruktur pada tahun ini.

Isu pemotongan subsidi dan kenaikan harga petrol amat sensitif di Indonesia.

Kenaikan harga petrol pada 1998 mencetuskan kekacauan yang membawa kepada kejatuhan bekas Presiden Indonesia, Suharto. – AP