Hak peribadi TMJ kritik FAM

Kuala Lumpur: Timbalan Presiden FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menyifatkan kenyataan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mengkritik badan induk bolasepak itu sebagai hak peribadinya.

“Itu hak dia, bukan saya perlu jawab. Kami terbuka dan sedia menerima kritikan. Jika ada kebaikan, ia perlu dijadikan iktibar dan kita tidak boleh lari.

“Mungkin kata-kata TMJ itu ada kebaikan tapi jika ada fakta yang salah, ia perlu diperbetulkan,” kata beliau ditemui selepas merasmikan Piala Guruhara di Kelab Aman, Kuala Lumpur semalam.

Meskipun Tengku Abdullah memegang status orang nombor dua FAM, beliau meminta setiap persoalan ditujukan kepada pengurusan FAM.

“Saya hanya seorang daripada anggota Majlis FAM dan tidak boleh memutuskan sesuatu perkara bersendirian.” Kelmarin dalam kenyataan kepada media, Tunku Ismail menegaskan FAM tidak akan berubah meskipun 20 tahun akan datang sekiranya terus mengamalkan polisi tidak betul dan menjatuhkan hukuman secara tidak adil.

Antara dakwaan TMJ adalah hukuman gantung daripada tugas presiden Persatuan Bola Sepak Johor (PBNJ) kerana mengkritik, dalam masa sama, Johor Darul Takzim dijatuhkan hukuman oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) bukannya Jawatankuasa Tatatertib mengenai insiden separuh akhir Piala FA di Pahang dan tidak dibenarkan merayu.

Tunku Ismail juga menyelar polisi FAM yang lebih gemar mengundang pasukan luar seperti Chelsea sekali gus mengabaikan pembangunan bakat dalam kalangan belia.

“Kes Tunku Ismail rasa saya tidak adil dikenakan denda kerana saya tidak ada dalam negara. Eloklah FAM yang menjawabnya. Isu hukuman dijatuhkan JKPT dan bukannya Jawatankuasa Tatatertib, itu terpulang kepada JKPT dan lebih baik rujuk kepada mereka,” kata Tengku Abdullah lagi.

Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah juga memberi jaminan bahawa Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) akan menerima bayaran insentif RM15,000 satu perlawanan sebagai hak tuan rumah dalam siaran langsung Liga Malaysia (Liga M).

Begitupun baginda menegaskan, FAM perlu meneliti terlebih dahulu kontrak perjanjian yang telah dipersetujui dengan Astro berhubung perkara tersebut.

Sebagai tuan rumah, jelas baginda, PBNJ dan persatuan bola sepak negeri lain berhak menerima insentif berkenaan sekiranya ia termaktub di dalam kontrak perjanjian.

“Saya sebenarnya tidak tahu maklumat terperinci tentang kontrak tersebut dengan Astro, tetapi FAM akan melihat semula kontrak berkenaan.

“Kalau dalam kontrak berkenaan mengesahkan bahawa tuan rumah memang betul akan mendapat hak seperti yang dijanjikan itu, maka kita akan bagi kepada semua persatuan negeri, termasuk PBNJ.
“Kita perlu menghormati dengan apa yang telah dijanjikan seperti dalam kontrak dan FAM akan menjawab tuduhan atau isu yang dibangkitkan oleh Tunku Mahkota Johor (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) ini,” ujar Tengku Abdullah.

Sementara itu, beliau yang juga Presiden Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) berharap skuad hoki negara dapat mencuri satu slot ke Piala Dunia 2014 dan merebut peluang selaku penganjur separuh akhir Liga hoki Dunia, di Taman Daya, Johor Bahru.

One Reply to “Hak peribadi TMJ kritik FAM”

Comments are closed.