Guru pertama di dunia mengajar dari angkasa lepas

BEIJING – Guru pertama yang dihantar ke angkasa oleh pemerintah China dijadualkan memberi kuliah kepada para pelajarnya melalui satu sidang video hari ini, lapor rangkaian Televisyen Pusat China (CCTV).

Kuliah yang disampaikan guru wanita berkenaan, Wang Yaping, akan disiarkan oleh CCTV bermula dari pukul 10.04 pagi sehingga 10.55 pagi waktu tempatan.

Jurucakap Program Kejuruteraan Manusia ke Angkasa Lepas China, Wu Ping berkata, Yaping yang berusia 33 tahun itu merupakan angkasawan wanita China kedua dihantar ke angkasa lepas.
Dia akan memberikan kuliah tentang graviti dari angkasa lepas kepada para pelajar sekolah rendah dan menengah.

Terdahulu, China telah melancarkan roket Long March 2-F yang membawa kapal angkasa lepas Shenzhou-10 ke angkasa lepas pada 11 Jun lalu.

Tiga angkasawan yang berada di dalam kapal angkasa tersebut berlepas dari pusat pelancaran Jiuquan di padang pasir Gobi, dalam wilayah Gansu.

Kapal angkasa itu berlabuh di stesen angkasa lepas milik China, Tiangong-1. – Agensi