Fatehah, Firdaus curi tumpuan

PELUMBA basikal trek wanita negara, Fatehah Mustapa mencuri tumpuan peminat dalam acara pecut 200 meter individu pada Kejohanan Lumba Basikal Trek Grand Prix (GP) Asia Tenggara 2013 di Velodrom Kuala Lumpur, Cheras semalam.

Pelumba Olimpik berusia 24 tahun yang mewakili pasukan Sime Darby Foundation Track Team itu berjaya mengenepikan cabaran Kaarie McCulloch mewakili pasukan Jayco Team dari Australia.

Pingat gangsa dimenangi rakan sepasukan Fatehah, Ummi Hamimah Mohamad yang menewaskan pelumba pelapis kebangsaan, Nurul Alissa Mohamad Azman.

“Perlumbaan hari ini agak sengit bila bersaing dengan pelumba Australia ini.

“Saya pernah menang dua kali bertarung dengan dia (Kaarie) sebelum ini iaitu sebelum Sukan Olimpik 2012 di London dan satu kejohanan di Australia. Ini kali ketiga saya menang,” kata Fatehah.

Tumpuan Fatehah kini terarah kepada saingan acara keirin pada hari terakhir siri Grand Prix Asia Tenggara itu hari ini.

“Saingan masih lagi Kaarie. Bagaimanapun, saya tidak tahu prestasi sebenar dia sebab sekarang ini dia berpangkalan di Jepun. Apa yang saya tahu, prestasi dia lebih kurang sama sahaja dengan saya.

“Saya harap dapat kekalkan pingat emas dalam acara keirin yang saya menang minggu lepas. Untuk hari terakhir esok (hari ini), saya perlu berhati-hati dan buat yang terbaik,” kata Fatehah.

Pada saingan siri pertama minggu lepas, Fatehah tidak mendapat cabaran daripada pelumba dari luar negara dan hanya bersaing sesama sendiri bersama pelumba elit Malaysia yang lain.

Sementara itu, pelumba pelapis kebangsaan, Muhammad Firdaus Mohd. Zonis menebus kekecewaan gagal meraih pingat emas dalam acara 200m pecut pada siri pertama kejohanan itu.

Dia menewaskan rakan sepasukan, Muhammad Shah Firdaus Sahrom pada perlumbaan akhir acara pecut 200m remaja lelaki, manakala pingat gangsa milik Muhammad Khairul Adha Rasol dari Johor yang menewaskan rakan sepasukan, Muhammad Faruq Dawod.

“Saya gembira sebab mendapat pingat emas dan menebus kekalahan minggu lepas.

“Saya jadi bersemangat untuk dapatkan dua lagi pingat emas esok ekoran kejayaan ini. Kedua-dua acara memang saya sasar emas,” kata pelumba berusia 16 tahun yang setakat ini meraih dua pingat emas.

Dia mengungguli acara 1 km ujian masa semalam dan tumpuan esok adalah dalam acara pecut berpasukan dan keirin. – Bernama