Fandi bimbang jerebu, Lions tiada masalah

Johor Bahru: Jerebu yang melanda Johor dan Singapura nyata menjejaskan latihan skuad Johor Darul Takzim (DT) dan Lions XII tatkala kedua-dua pasukan sedang giat membuat persiapan untuk pertembungan pada aksi Liga Super di Stadium Jalan Besar, Singapura, malam esok.

Malah, pengendali skuad Harimau Selatan, Fandi Ahmad akur latihan di Stadium Majlis Perbandaran Kluang yang dilengkapi padang rumput sintetik, kelmarin, turut terjejas selepas masalah jerebu melanda kawasan itu apabila jarak penglihatan ketika latihan agak terbatas.

“Sukar untuk melihat dengan jelas ditambah dengan keadaan cuaca panas tetapi kita terpaksa teruskan latihan bagi membuat persiapan menghadapi Lions XII, malam esok walaupun senario itu menjejaskan latihan. Hari ini (semalam) kita ubah jadual latihan dan berlatih di Padang Polo.

“Saya arahkan pemain lebih banyak minum air kerana cuaca tidak mengizinkan malah keadaan sedemikian tidak sesuai untuk latihan tetapi kita tidak boleh buat apa-apa,” katanya.

Tidak mahu ditunda

Ditanya sama ada perlawanan membabitkan Johor DT dan Lions XII akan ditunda jika keadaan jerebu masih belum pulih dan kemungkinan keadaan akan lebih buruk, Fandi secara berhemah mahu meneruskan perlawanan memandangkan skuad bimbingannya perlu berdepan Kelantan pada final Piala FA, 29 Jun ini.

“Bagi pandangan saya elok perlawanan diteruskan kerana kita tidak mahu lagi ada penundaan berikutan kita akan beraksi di final Piala FA, namun semuanya bergantung kepada keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sama ada perlawanan diteruskan atau sebaliknya, kami akan patuh apa jua keputusan FAM,” ujar Fandi.

Sementara itu di kem latihan, Lions XII, latihan di Stadium Jalan Besar terpaksa dibatalkan berikutan keadaan jerebu menyaksikan pengendali V Sundramoorthy mengubah lokasi latihan gelanggang futsal tertutup selepas bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Singapura melebihi 200.

“Buat masa ini kita akan terus menjalani latihan dan saya sendiri tidak pasti sama ada aksi liga itu akan diteruskan atau tidak dan semua itu diserahkan kepada pihak berwajib kerana tugas saya melatih pemain Lions XII untuk membuat persediaan berdepan Johor DT,” kata Sundramoorthy.  [BH]