FAM setuju EGM namun sudah lambat Annuar!

Kuala Lumpur: Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad berkata badan induk itu tidak ada halangan sekiranya ahli gabungan mahu mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) seperti yang dicadangkan Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa.

Namun, Azzuddin menegaskan ia sudah terlambat kerana ahli gabungan perlu mematuhi peraturan dengan menghantar notis mengenai mesyuarat berkenaan tiga bulan kepada sekretariat FAM sebelum ia ditetapkan.

“Saya tiada masalah mengadakan EGM. Ia terpulang kepada ahli gabungan FAM untuk melakukan EGM bagi menyelesaikan segala isu yang dibangkitkan namun bagi saya ia sudah agak lambat.

“Mereka (ahli gabungan) harus menghantar notis itu tiga bulan sebelum ia ditetapkan kepada pihak sekretariat dan pendapat saya, ia sudah sedikit lambat kerana Kongres FAM akan diadakan pada 17 Ogos ini.

“Jadi, jika mereka menghantar notis itu, EGM tetap akan diadakan selepas kongres berlangsung,” kata Azzuddin semalam.

Kelmarin, Annuar mencadangkan ahli gabungan FAM mengemukakan usul supaya EGM diadakan bagi menyelesaikan melakukan EGM untuk menyelesaikan isu berbangkit dalam badan induk itu.

Cadangan Annuar itu susulan kritikan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar diikuti dengan tuntutan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mempersoalkan pelbagai isu di dalam badan induk itu.