FAM masih kekalkan harga tiket

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menafikan dakwaan bahawa harga tiket bagi aksi final Piala FA antara Kelantan dan Johor Darul Takzim (Johor DT) dinaikkan seperti yang diuar-uarkan sesetengah pihak melalui laman sosial dan blog.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad (gambar kecil) menjelaskan, tiket bagi aksi final tersebut kekal pada harga RM40 bagi dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak.

Katanya, pihaknya tidak pernah membuat sebarang persetujuan untuk menaikkan harga tiket tersebut, sekali gus menepis dakwaan yang mengatakan tiket untuk aksi final itu akan dijual pada harga RM45.
Azzuddin memberitahu, harga tiket final Piala FA tersebut telah ditetapkan selepas perbincangan bersama pada awal musim 2012.

“Saya tidak tahu mengenai perkara ini (harga tiket final Piala FA berharga RM45).

“Dakwaan tersebut tidak benar kerana FAM tidak pernah membuat sebarang kenaikan harga.
“Sejak dari awal musim 2012, kami telah memutuskan bahawa harga tiket untuk aksi final Piala FA adalah sebanyak RM40 bagi dewasa dan RM5 untuk kanak- kanak.

“Saya berharap, peminat- peminat tidak tertipu dengan sebarang laporan tidak rasmi ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Kelmarin, peminat-peminat bola sepak tempatan terkejut dengan laporan menerusi beberapa laman sosial dan blog bahawa tiket bagi aksi final Piala FA yang bakal berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 29 Jun ini ditetapkan pada harga RM45.

Laporan tersebut sedikit sebanyak memberikan kesan terhadap imej FAM yang dikatakan mahu mengaut keuntungan.

Mengulas lanjut, Azzud- din berharap peminat-peminat bola sepak tempatan tidak terburu-buru membuat sebarang spekulasi tanpa pengumuman rasmi daripada FAM.

“Perkara seperti ini akan menjejaskan kredibiliti FAM. Pihak kami akan mengambil tindakan serius terhadap laporan tersebut.

“Penyokong-penyokong bola sepak dinasihatkan supaya tidak mudah mempercayai sebarang laporan tanpa pengumuman rasmi daripada pihak FAM.