FAM batal ganjaran RM1,000

Kuala Lumpur: Tiada ganjaran RM1,000 buat penyokong yang menangkap mereka yang mencetuskan kekecohan pada perlawanan akhir Piala FA Sabtu depan apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menarik balik usul itu.

FAM yang mengadakan mesyuarat keselamatan perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam memutuskan untuk mengkaji semula secara terperinci usul itu sebelum dilaksanakan.

“Kita perlu kaji dulu takut ada salah faham. Buat masa ini cadangan itu tidak akan dilaksanakan pada perlawanan akhir Piala FA,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM Datuk Hamidin Mohd Amin.

Cadangan pemberian ganjaran RM1,000 kepada penyokong yang menangkap penyokong liar dilulus minggu lalu selepas mendapat persetujuan bersama pengurusan pasukan bertanding, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ).

Langkah itu dianggap antara pendekatan baru bagi memastikan kelancaran perlawanan itu memandangkan ia terbukti berkesan apabila dipraktikkan KAFA sebelum ini. [HMetro]