Dipenjara enam bulan kerana seks oral

SINGAPURA – Seorang bekas penjawat kanan awam di sini dipenjara enam bulan semalam kerana menerima seks oral daripada bekas eksekutif wanita sebuah syarikat pembekal sebagai habuan untuk mendapatkan kontrak perniagaan.

Dalam keputusannya, Hakim Daerah, Hamidah Ibrahim berkata, bekas ketua Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SC- DF), Peter Lim (gambar) mencemarkan reputasi kakitangan awam dengan melakukan perbuatan tidak bermoral.

Beliau turut menolak rayuan pihak peguam bela agar Lim membayar denda atau dikenakan hukuman penjara yang singkat.

Menurutnya, tiada kompromi terhadap semua pesalah kes rasuah tanpa mengira kedudukan atau jawatan mereka.

“Saya tidak dapat menerima dia terlibat dalam perbuatan tidak bermoral yang mencemarkan jawatan tinggi yang dipegangnya. Dia sepatutnya memelihara kepercayaan yang diberikan,” kata hakim.
Terdahulu, peguam tertuduh, Hamidul Haq merayu agar Lim dibenarkan ikat jamin sebanyak 15,000 dolar Singapura (RM37,554).

Mahkamah berkenaan diberitahu bahawa Lim telah meminta dan menerima seks oral daripada pengurus besar firma Kejuruteraan Nimrod yang berurus niaga dengan SCDF.
Wanita tersebut berusia 49 tahun.

Beberapa bulan selepas itu, tertuduh memberikan maklumat awal bahawa SCDF memerlukan peralatan mengesan radiasi.

Maklumat tersebut membolehkan Nimrod menyertai tender berkenaan dengan kelebihan yang besar berbanding syarikat-syarikat lain.

Hakim sama memberitahu, beliau juga tidak dapat menerima hujah pembelaan bahawa kes itu unik kerana ia melibatkan seks oral dan bukannya wang.

“Bentuk rasuah tiada kena mengena dengan kesan jenayah rasuah terutama dalam sektor awam,” katanya.

Ketika keputusan dibacakan, Lim yang memejamkan matanya kelihatan gugup dan sedih.
Dia didapati bersalah pada 31 Mei lalu dan dihadapkan semula ke mahkamah semalam bagi membolehkan hukuman dibacakan.

Tujuh lagi dakwaan rasuah seks terhadap Lim yang melibatkan dua wanita lain turut diambil kira dalam keputusan kes tersebut.

Dua tuduhan lain ke atasnya bagaimanapun telah digugurkan. – AFP