Canberra FC serius jumpa Harimau Malaya

Kuala Lumpur: Pendahulu Liga Perdana ACT, Canberra FC bakal menampilkan enam pemain jemputan bagi memantapkan pasukan menjelang aksi persahabatan antarabangsa bertemu skuad Harimau Malaya kendalian Datuk K Rajagobal di Stadium Deakin, Canberra, esok.

Setiausaha Canberra FC, Rad Trpkovski berkata, perlawanan berkenaan adalah peluang buat pemain terbaik dalam saingan liga bertaraf divisyen dua Australia itu menguji kehebatan mereka berdepan lawan antarabangsa berstatus skuad kebangsaan.

“Salah satu syarat untuk membawa pasukan Malaysia ke Canberra FC ini ialah kami perlu menyenaraikan enam pemain Liga Perdana ACT daripada kelab-kelab lain.

“Kami sudah pun mengenalpasti pemain berkenaan. Ini semua memberi peluang terbaik bukan saja buat pemain Canberra FC, malah pemain dari kelab lain untuk membawa sebuah pasukan antarabangsa ke Canberra dan mempromosikan perlawanan ini,” kata Trpkovski dipetik dari laman web rasmi akhbar The Canberra Times.

Namun tidak dapat dipastikan adakah Canberra FC yang membelasah Tuggeranong United 7-0, Ahad lalu bakal menurunkan pemain utama bertemu Harimau Malaya, esok kerana mereka mempunyai perlawanan liga bertemu Woden Valley, dua hari kemudian.

Bagaimanapun, perlawanan yang bakal bermula jam 7.15 malam esok (5.15 petang waktu Malaysia) di stadium berkapasiti 1,500 tempat duduk itu tetap mengenakan tiket berharga AUD$15 (RM45) untuk dewasa, AUD$10 (RM30) untuk pelajar dan warga emas, manakala percuma untuk kanak-kanak bawah 12 tahun.

Rajagobal dan barisan 26 pemain Harimau Malaya tiba di Canberra, pagi semalam. Selepas pertemuan dengan Canberra FC, mereka akan ke Sydney untuk baki dua aksi persahabatan bertemu kelab Liga Perdana NSW, Sydney Olympic (11 Jun) dan Sydney United (13 Jun) sebelum kembali ke tanah air, 15 Jun. [BH]