Canberra FC kecewa dengan media Malaysia

Kuala Lumpur: Tiada penjelasan konkrit dinyatakan Kelab Bolasepak Canberra (Canberra FC) berhubung penggunaan pemain sambilan ketika menentang skuad kebangsaan di Stadium Deakin, Khamis lalu.

Kelab divisyen dua liga Australia itu sebaliknya melahirkan kekecewaan terhadap media Malaysia apabila dimaklumkan melabel pemain kelab mereka sebagai juruelektrik, mekanik dan tukang paip.

Presiden Canberra FC Marco Vrkic menerusi kenyataan dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam, menyatakan kelab mereka sangat serius terhadap sukan itu dan sudah menghasilkan ramai pemain seperti Ned Zelic, Josip Simunic, Tony Popovic dan Ante Milicic.

“Kelab ini amat bangga membangunkan pemain muda. Malangnya tidak semua pemain berhasrat menjadikan bola sepak sebagai karier sekali gus menyebabkan mereka memilih untuk mengekalkan status amatur. “Mereka menikmati sukan ini dan tetap bermain secara serius. Mereka pemain amatur berbakat dan menjalani latihan seperti pemain profesional,” kata Vrkic mengenai kelab dikuasai komuniti Croatia di Canberra itu.

Media tempatan di Australia, The Canberra Times menerusi tajuk ‘pemain sambilan raih kemenangan ke atas pasukan kebangsaan’ (part-timers steal win over internationals) dilihat memperlekehkan skuad kebangsaan kendalian Datuk K Rajagobal selepas kemenangan 3-2 yang dicatat mereka.

“Majoriti pemain yang beraksi menentang Malaysia membabitkan pemain yang sedang dan akan menjalani ujian pemilihan dengan beberapa kelab A-League (liga utama Australia), sesetengahnya pula sudah beraksi di Asia dan seorang lagi kembali ke England untuk menjalani ujian pemilihan buat kali kedua.

“Selain itu kami turut menjemput lima pemain terbaik di Canberra bagi memastikan kami mampu menghasilkan pasukan lebih kuat.” Kunjungan hampir dua minggu ke Australia menjadi pilihan skuad negara selepas dua perlawanan persahabatan berstatus A menentang Singapura dibatalkan namun ia mendapat kritikan pelbagai pihak yang melihat tiga pertemuan yang diatur menentang kelab divisyen dua di Canberra dan Sydney itu tidak memberi faedah.