Bukan nak bergaduh: Hairuddin

Kuala Lumpur: Langkah menghidupkan semula Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) bukan bertujuan untuk mengajak pemain ‘bergaduh’ dengan persatuan bola sepak negeri masing-masing atau Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Sebaliknya menurut Presiden PFAM yang baru, Hairuddin Omar, ia lebih kepada menjadi tempat pemain profesional di negara ini mengadu andai berdepan masalah dengan karier dan kebajikan mereka.

“Selepas pulang daripada mesyuarat kongres FIFPro Asia di Melbourne, Australia minggu lalu, saya mendapat beberapa input baru untuk dilaksanakan dalam usaha kami menghidupkan semula PFAM yang berkubur selepas ditubuhkan pada 2009.

“Antara perkara dibincangkan ialah membangunkan pemain supaya lebih profesional di dalam dan luar padang terutama di kalangan pemain Asia ini serta merapatkan hubungan persatuan pemain dengan kelab, persatuan negeri dan persatuan negara masing-masing.

Kumpul 160 ahli

“Bagi PFAM pula, pihak FIFPro Asia berasa cukup gembira kerana dalam tempoh tidak sampai sebulan ini, kami berjaya mengumpul 160 ahli dan harap lebih ramai lagi akan menyertai kami,” kata Hairuddin ketika dihubungi, semalam.

Hairuddin, 34, dilantik awal bulan ini dalam satu mesyuarat pemilihan semula ahli jawatankuasa baru PFAM yang turut dihadiri wakil dari FIFPro Asia, Robbie Gaspar yang juga bekas pemain import Sabah dan Persib Bandung.

“Gaspar banyak membantu kami menghidupkan semula PFAM kerana dia pernah beraksi di Malaysia dan Indonesia serta boleh berbahasa Melayu. Mungkin dia turut dilantik memegang jawatan dalam PFAM,” kata Hairuddin sambil menambah mesyuarat pertama kepimpinan baru PFAM bakal berlangsung hujung bulan ini.

Dalam pada itu, Hairuddin yang juga kapten Tentera terpaksa melupakan semua baki empat perlawanan terakhir Liga Super akibat kecederaan buku lali dan hanya akan kembali untuk saingan Piala Malaysia, Ogos ini.[BH]