Brazil akhiri kemarau kalahkan Perancis

PORTO ALEGRE: Oscar, Hernanes dan Lucas masing-masing menyumbatkan gol pada babak kedua perlawanan ketika Brazil menumpaskan Perancis 3-0 pagi tadi menjelang saingan Piala Konfederasi.

Perancang utama Chelsea, Oscar membuka tirai jaringan dengan rembatan jarak dekat pada minit ke-54 manakala Hernanes menambah dengan percubaan kaki kiri dalam kotak penalti pada minit ke-85 dan pemain kelab Paris Saint-Germain, Lucas mengesahkan kemenangan apabila menyempurnakan sepakan penalti pada masa kecederaan.

Keputusan itu menamatkan kemarau kemenangan Brazil selama 21 tahun ke atas Perancis dan kemenangan pertama ke atas bekas juara dunia itu dalam tempoh hampir empat tahun. – AP