Benjy ditahan polis lagi

Image result for benjy tahan polis kondominiumKUALA LUMPUR 26 Jun – Pelakon, Khaeryyl Benjamin Ibrahim, atau Benjy sekali lagi ditahan pagi tadi atas kesalahan menyalahguna dadah dalam satu serbuan di sebuah kondominium di Bukit Antarabangsa di sini.

Anak kepada pelakon, Azean Irdawaty itu ditangkap pada kira-kira pukul 11.30 pagi tadi selepas ujian air kencing yang dijalankan mendapati dia positif dadah jenis syabu.

Menurut jurucakap, polis akan memohon perintah reman terhadap pelakon itu esok di bawah Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya.

“Hasil pemeriksaan polis ke atas pelakon tersebut ketika serbuan bagaimanapun tidak menemui dadah yang dibawa bersamanya,” katanya.

Sumber polis berkata, pelakon itu ditahan kira-kira jam 11.30 pagi di kondominiumnya oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya yang melakukan serbuan di rumah berkenaan.

“Ketika serbuan dilakukan, dia berada dalam rumah itu seorang diri. Namun, pemeriksaan lanjut di rumah berkenaan tidak menemui sebarang dadah.

“Dia kemudian ditahan dan dibawa ke IPD Ampang Jaya untuk ujian saringan air kencing dan hasil ujian mendapati pelakon itu dapati positif mengambil dadah,” katanya.

Berikutan itu, katanya, pelakon terbabit kini ditahan dan polis dijangka mendapatkan perintah tahanan reman ke atasnya hari ini.

Menurutnya, pelakon itu akan disiasat mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda hingga RM5,000 jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, pelakon berbakat itu ditahan pada Mac 2010 dan penahanannya ketika itu mencetuskan kegemparan selepas polis turut menemui makmal memproses dadah di lokasi dia ditahan di pinggir ibu negara.

Ketika dibicarakan di mahkamah, pelakon itu dibebaskan daripada tuduhan memasukkan dadah ke dalam badan, namun didapati bersalah memiliki dadah dan dikenakan denda RM5,000. Dia dibebaskan selepas membayar denda itu. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin yang dihubungi Harian Metro, malam tadi mengesahkan penahanan pelakon terbabit.