Barca mahu bawa Torres ke La Liga

LONDON – Barcelona mahu mendapatkan Fernando Torres dari Chelsea dengan bidaan berjumlah 17 juta pound (RM83 juta), kurang 33 juta pound (RM162 juta) daripada nilai yang dibayar oleh Blues kepada Liverpool dua tahun lalu.

Bos baru Chelsea, Mourinho mahu bersemuka dengan Torres sebelum membuat sebarang keputusan mengenai pemain yang menerima gaji tertinggi di kelab itu.

Dengan Blues turut menawarkan 54 juta pound (RM266 juta) kepada penyerang Napoli, Edinson Cavani, Torres menyedari dia hanya menunggu hari untuk meninggalkan kelab itu.

Torres, 29, kini menyertai skuad kebangsaan Sepanyol dan dijangka kembali ke Stamford Bridge bulan depan.

Pemain itu baru sahaja melengkapkan musim paling produktif di Chelsea dengan menjaringkan 22 gol namun hanya lapan daripadanya adalah gol dalam Liga Perdana Inggeris.

Barcelona, yang juga sedia menawarkan 35 juta pound (RM172 juta) untuk pemain tengah Blues, David Luiz, melihat Torres sebagai penyerang bantuan di Nou Camp dan kepulangannya ke Sepanyol bakal melonjakkan semula kariernya.

Barca mahu menggantikan Torres dengan rakan sepasukan dalam skuad kebangsaan David Villa, yang dijangka meninggalkan Nou Camp.

Barca bersetuju untuk memberikan gaji yang sama seperti yang dinikmati Torres di Stamford Bridge iaitu 175,000 pound (RM860,000) seminggu. – Agensi