Bapa dijel 10 tahun, 5 sebatan rogol anak tiri

JOHOR BAHRU 19 Jun – Seorang pengawal keselamatan menerima padah apabila dihukum penjara 10 tahun dan sebatan lima kali oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana mencabul dan memperkosa anak tirinya yang berusia sembilan tahun enam bulan, awal bulan ini.

Lelaki berusia 35 tahun itu dijatuhi hukuman tersebut setelah mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan itu di hadapan Hakim Hassan Abdul Ghani di sini hari ini.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol anak tirinya di sebuah rumah di Jalan Sekolah Agama, Kampung Pasir Putih kira-kira pukul 2 petang, 9 Jun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun serta boleh dikenakan sebatan.

Lelaki itu turut dituduh mencabul kehormatan mangsa di tempat, masa dan yang sama di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun serta sebatan.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh dihukum penjara 10 tahun dan sebatan lima kali, manakala bagi pertuduhan kedua, dia dihukum penjara enam tahun. [utusan]