Azzuddin rasmi ke AFF

Kuala Lumpur: Datuk Azzuddin Ahmad kini secara rasmi dilantik sebagai Setiausaha Agung Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) bermula 1 Julai nanti namun penggantinya sebagai Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) masih menjadi tanda tanya.

Sehingga petang semalam, badan induk bola sepak negara itu masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan atau pengumuman rasmi mengenai pengganti Azzuddin.

Azzuddin berkata, beliau menerusi surat pelantikan untuk mengisi jawatan berkenaan semalam sekali gus perlu melepaskan jawatannya di FAM yang disandang sejak September 2007.

“Saya akan meninggalkan FAM penghujung bulan ini kerana sudah menerima surat lantikan sebagai Setiausaha Agung AFF dan akan mula bertugas (di AFF) pada 1 Julai nanti,” katanya.

Presiden AFF Sultan Ahmad Shah sebelum ini menawarkan jawatan berkenaan kepada Azzuddin bagi menggantikan Datuk Sri Paul Mony Samuel dengan badan induk bola sepak Asia Tenggara itu kini memerlukan individu yang tepat dan berkebolehan bagi menjalankan tugas besar iaitu melaksanakan rancangan membida Piala Dunia 2034.

Namun pengganti Azzuddin untuk mengisi kerusi panas untuk mengetuai sekretariat di Wisma FAM, Kelana Jaya masih menjadi persoalan walaupun Naib Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin dilaporkan calon utama untuk mengambil alih.

Jika mendapat perkenan Sultan Ahmad Shah, Hamidin akan menjadi Setiausaha Agung FAM ketujuh selepas Datuk Kwok Kin Keng (1951-1980), Datuk Paul Murugasu (1980-1985), Datuk Paul Mony Samuel (1985-2000), Datuk Dell Akbar Khan Hyder Khan (2000-2005), Datuk Seri Ibrahim Saad (2005-2007) dan Azzuddin (2007-2013). [HMetro]