Australia, Korea Selatan dan Iran ke Piala Dunia

SYDNEY – Australia mengesahkan slot ke pusingan akhir Piala Dunia 2014 di Brazil selepas menewaskan Iraq 1-0 di Stadium Olimpik, Sydney semalam.

Pemain gantian, Josh Kennedy dijulang sebagai wira apabila dia menjaringkan gol kemenangan pasukan tuan rumah pada minit ke-83 pada aksi kelayakan Kumpulan B Zon Asia itu.

Meskipun gagal mencatat kemenangan yang membanggakan di hadapan 80,000 penonton itu, ia sudah memadai buat Australia untuk melayakkan diri ke Piala Dunia 2014 buat kali ketiga berturut-turut, sekali gus mengekori Jepun yang sudahpun layak pada awal bulan lalu.

Kemenangan itu membolehkan Australia mengumpul 13 mata, empat mata di depan Oman (sembilan mata) dan Jordan (tujuh mata).

Pada perlawanan semalam, Australia mempersia-siakan banyak peluang untuk menjaringkan gol sebelum jurulatih, Holger Osieck menggantikan Tim Cahill dengan Kennedy pada minit ke-77.

Bagaimanapun, penyerang Nagoya Grampus itu membuktikan kehebatannya apabila meledakkan gol kemenangan Australia.

“Kami membanggakan semua orang. Ia merupakan satu kempen yang sukar tetapi kami membuktikan kekuatan mental kami.

“Saya minta maaf kerana kemenangan itu tidak menarik tetapi kami menewaskan mereka.

“Kami perlu memberi tekanan kepada diri sendiri. Mari kita lihat pada aspek positif malam ini (semalam). Kami layak ke Brazil,” kata kapten, Lucas Neill.

Sementara itu, Osieck menaruh keyakinan kepada anak-anak buahnya selepas mereka menewaskan Jordan 4-0 di Melbourne minggu lalu.

Bagaimanapun, ia bukan persembahan yang diharapkan dan pengendali kelahiran Jerman itu yakin mereka mampu menampilkan aksi yang lebih cemerlang.

“Ia adalah satu kerja keras, kami bermain sebagai sebuah pasukan dan berhak melayakkan diri ke Piala Dunia 2014.

“Saya berasa bangga kerana saya adalah sebahagian daripada pasukan ini. Terdapat banyak aspek positif tetapi kini, bukan masanya untuk membuat analisis. Ia masih terlalu awal,” kata Osieck.

Sementara itu, Korea Selatan dan Iran juga sudah layak ke Piala Dunia. Iran menewaskan Korea 1-0 untuk mengiringi Korea ke Brazil 2014.