Ancelotti sah pengurus baru Real Madrid

MADRID – Jurulatih kelahiran Itali, Carlo Ancelotti akhirnya dilantik sebagai pengurus baharu skuad gergasi Sepanyol, Real Madrid untuk tempoh tiga tahun bermula semalam.
“Ancelotti akan menjadi jurulatih Real musim depan.

“Pengalaman, kejayaan dan kebolehpercayaan yang tinggi dalam diri Ancelotti menyebabkannya tiba di ibu kota negara Sepanyol ini selepas setahun beliau mengendalikan pasukan di Perancis,” menurut satu kenyataan dalam laman web kelab Liga Sepanyol itu.

Menurut laporan tersebut, Ancelotti akan membuat perjumpaan rasmi dengan pihak media bagi mengumumkan perkara tersebut hari ini.

Dalam pada itu, tempat Ancelotti, 54, di Paris Saint-Germain juga sudah ada pengganti apabila kelab Perancis tersebut mengumumkan bahawa Laurent Blanc bakal menerajui PSG musim depan.

Pengumuman Real itu menamatkan teka-teki berhubung pengganti kerusi panas yang ditinggalkan Jose Mourinho yang telah membuat pengumuman meninggalkan kelab itu pada 20 Mei lepas.

Bagaimanapun, kehadiran bekas pengurus Juventus, AC Milan dan Chelsea itu ke Madrid sangat dialu-alukan presiden kelab, Florentino Perez yang telah lama mengidam untuk membawanya ke kelab itu.

“Dia (Ancelotti) telah memenangi pelbagai trofi dalam karier antaranya dua Liga Juara-Juara, dua (Piala Super Eropah), satu (Piala Kelab Dunia) dan satu (Piala Intertoto) selain memenangi kejuaraan liga dengan tiga negara berbeza seperti Itali, England dan Perancis.

“Beliau juga sudah biasa dengan tekanan serta bijak dalam mengurus kelab-kelab besar,” menurut kenyataan itu lagi.

Selain itu, Ancelotti juga perlu merubah senario yang melanda Real di bawah kendalian Mourinho yang banyak bertelagah dengan pemain-pemain senior musim lalu.

Rekod cemerlang dalam kempen Liga Juara-Juara merupakan faktor utama yang menarik Perez untuk membawa Ancelotti ke Stadium Santiago Bernabeu. – AFP