Aidil terlepas aksi akhir Piala FA

PETALING JAYA – Impian Mohd. Aidil Zafuan Abdul. Razak untuk membantu Johor Darul Takzim (Johor DT) untuk menjulang kejuaraan Piala FA buat kali pertama berkecai apabila Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang bersidang semalam memutuskan penggantungan dua perlawanan yang sedang dilalui pemain pertahanan itu kekal.

Malah, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufek Abdul Razak mengesahkan Johor DT tiada sebarang asas untuk mengemukakan rayuan terbabit kerana apa yang diputuskan oleh pengadil adalah muktamad dan jawatankuasanya tiada asas untuk meminda hukuman yang telah diberikan oleh pengadil perlawanan.

“Mengikut peruntukan Kod Tatatertib di bawah kesalahan 35.3(2), mana-mana pemain yang mendapat dua kad kuning akan digantung satu perlawanan sementara mereka yang meraih kad merah, akan dikenakan penggantungan dua perlawanan.

“Di dalam klausa yang ditetapkan, Jawatankuasa Tatatertib tiada bidang kuasa untuk meminda hukuman kerana keputusan pengadil adalah muktamad dan automatik berkuat-kuasa.

“Jadi, Aidil tetap akan digantung sebanyak dua perlawanan sama ada melibatkan liga atau perlawanan piala yang melibatkan aksi kalah mati,” katanya ketika ditemui di Wisma FAM selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tatartertib FAM, semalam.

Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) sebelum ini telah mengemukakan rayuan terhadap FAM supaya kesalahan yang dilakukan oleh Aidil semasa perlawanan bertemu Lions XII dikaji semula.

Mengikut apa yang diperkatakan oleh jurulatih Johor DT, Fandi Ahmad, bentesan yang dilakukan terhadap pertahanan Lions, Irwan Syah adalah bersih dan tidak wajar dikenakan sebarang tindakan.

Ketiadaan Aidil di barisan pertahanan pasti akan memberikan satu masalah besar kepada Fandi yang mungkin terpaksa mempertaruhkan kelibat ketua pasukan, Kamarul Afiq Kamaruddin yang baru pulih daripada kecederaan, Mohd. Muslim Ahmad, Ahmad Tharmani Saiban atau Mohd. Farid Ramli mengekang asakan pasukan Kelantan, Sabtu ini.

Mengenai kes berlainan, Taufek mengesahkan pemain tengah Terengganu, Ismail Faruqi digantung tiga bulan dan didenda RM5,000 serta hukuman tambahan digantung tiga perlawanan kerana kesalahan menanduk dada pengadil semasa aksi pertemuan dengan Pahang pada 11 Mei lalu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

“Kami telah meneliti rakaman video yang melibatkan insiden terbabit dan memang dia terbukti bersalah, jika diikutkan pertuduhan, dia boleh dikenakan penggantungan selama enam bulan.

“Namun, berdasarkan budi bicara kami, hukuman itu dikurangkan kepada tiga bulan sahaja tetapi jumlah denda itu kekal, jadi dia (Ismail) boleh beraksi sekurang-kurangnya pada saingan Piala Malaysia nanti.

“Manakala tuduhan kedua yang membawa penggantungan tiga perlawanan, dia telah bersalah mengeluarkan perkataan lucah terhadap pengadil perlawanan berdasarkan laporan daripada pegawai pertandingan dan hukuman ini tidak boleh dirayu,” katanya.

Selain itu, Jawatankuasa Tatatertib turut menolak rayuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) supaya penggantungan satu perlawanan dilalui penyerang importnya, Marlon Alex James dikaji semula sambil memberikan alasan sama bahawa hukuman itu tidak boleh dikaji semula. [utusan]