3 remaja ditahan terlibat samun restoran

SHAH ALAM 13 Jun – Polis menahan tiga remaja yang dipercayai terlibat dengan kejadian samun di sebuah restoran makanan laut di Kampung Melayu Subang dekat sini kelmarin.

Ketiga-tiga suspek termasuk seorang remaja 16 tahun yang tidak bersekolah ditahan bersama dua rakannya berusia 18 tahun bekerja sebagai pencuci kereta dan kelindan lori.

Dalam kejadian pukul 1 pagi itu, dua buah kereta Proton Persona dan Proton Wira dinaiki enam lelaki bersenjatakan parang dan rotan telah menyerbu restoran berkenaan serta merompak beberapa pelanggan termasuk pemilik restoran.

Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk A. Thaiveegan berkata, polis berjaya mengesan kedua-dua kereta suspek di sekitar Sungai Way kira-kira sejam selepas menerima maklumat daripada orang ramai mengenai kejadian tersebut.

Beliau berkata, kesemua suspek yang menyedari kehadiran polis cuba melarikan diri namun tiga daripada mereka ditahan. Tiga rakan mereka termasuk dalang kumpulan itu sempat melarikan diri.

“Siasatan awal mendapati kereta dinaiki suspek dilaporkan hilang di Jinjang dan Sunway. Kumpulan itu dipercayai terlibat dalam empat kes samun restoran dan kedai mamak di sekitar Sungai Buloh, Petaling Jaya dan Cheras.

“Polis masih menyiasat kumpulan ini dan sedang memburu rakan mereka yang masih bebas. Kumpulan ini juga dipercayai mula aktif sejak awal tahun ini dan sedang merekrut ahli-ahli baru,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Media Polis Kontinjen Selangor hari ini. – [UTUSAN]