10,000 saksikan skuad Pulau Pinang julang Piala FAM

PULAU PINANG – Pulau Pinang menamatkan kemarau 10 tahun tanpa sebarang kejuaraan dalam saingan bola sepak tempatan dengan menjulang Piala FAM musim ini.

Biarpun sekadar kejuaraan ‘kelas ketiga’, kejayaan itu sudah cukup menggembirakan lebih 10,000 penyokong yang membanjiri Stadium Bandaraya bagi melihat skuad kendalian Merzagua Abderrazak menjulang trofim semalam.

Turun beraksi dalam perlawanan ke-17 menentang Tumpat FA , pemain tengah tuan rumah, Khairan Eroza bersama rakan-rakannya menguasai sebahagian besar permainan dengan serangan bertali arus ke kubu lawan yang dikawal Judtana Eh Put.

Bagaimanapun, ketumpulan penyudah penyerang Norizam Salaman mengecewakan penyokong.
Sorakan Haria Penang Haria bergema sebaik sahaja pertahanan Tumpat FA ,Mohd. Syafiq Sabry tertampan hantaran silang pemain tuan rumah, Muhammad Aminuddin.

Ketika permainan seolah-olah berkesudahan 1-0, ketua pasukan tuan rumah, Elias Sulaiman memastikan stadium sekali lagi gemuruh apabila sepakan leretnya menembusi gol lawan.
Trofi disampaikan oleh Yang Dipertua negeri Tun Dr. Abdul Rahman Abbas.

Yang turut hadir, Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin.

Dengan kejayaan itu, Pulau Pinang menerima hadiah wang tunai RM50,000 dan akan kembali beraksi dalam saingan Liga Perdana pada musim depan selepas dua tahun beraksi dalam Liga FAM.
Sementara itu, Merzagua berkata, beliau bersyukur kerana berjaya menunaikan janjinya kepada penyokong Harimau Kumbang sambil menyifatkan keputusannya untuk kembali ke negeri ini adalah tepat.

“Pada awal tahun, saya ke negeri ini dengan harapan besar iaitu mahu meletakkan Pulau Pinang dalam saingan liga utama dan hasil kerja keras semua pihak termasuk pengurusan, kami berjaya melakukannya,” katanya.

Menurutnya, beliau kini mahu menyelesaikan urusan lesen kejurulatihan terlebih dahulu dan berazam untuk membentuk satu pasukan mantap dalam saingan musim depan. [utusan]