Warga Pakistan didakwa bunuh majikan sendiri

SEREMBAN –  Seorang lelaki warga Pakistan tergamak membunuh dan menanam majikan di luar pagar rumahnya sendiri sebelum membuat laporan polis kononnya majikannya hilang sejak 5 April lalu.

Bagaimanapun polis yang curiga dengan laporan dibuat lelaki telah menahannya kelmarin untuk siasatan lanjut dan akhirnya membawa penemuan mayat seorang lelaki dipercayai majikannya yang juga warga Pakistan, Fazli Subhan, 48, di Kampung Lenggong Hulu di Kota, Rembau di sini.

Ketua Polis Negeri, Datuk Osman Salleh berkata, pada 10 April lalu pihaknya telah menerima laporan daripada suspek di Balai Polis, Kota, yang mendakwa majikannya hilang sejak lima hari lalu.

“Suspek yang berusia 31 tahun memberitahu majikannya yang mempunyai sebuah kedai perabot di Chembong hilang dan pada peringkat awal kita mengklasifikasikan sebagai kes hilang.

“Namun, selepas menyemak semula laporan dibuat, kita mula curiga lalu menahan suspek kira-kira jam 1 tengah hari semalam (kelmarin) dan hasil soal siasat membawa penemuan satu mayat yang tertanam di luar pagar rumah suspek di Kampung Lenggong Hulu di Kota,” katanya pada sidang media diadakan di Ibu Pejabat Kontinjen Negeri Sembilan di sini, semalam.

Menurutnya, keadaan mayat berkenaan yang ditanam di dalam lubang sedalam setengah meter sudah hampir reput.

Osman berkata, hasil pemeriksaan polis telah menemui dompet mangsa yang di dalamnya terdapat pasport, lesen memandu dan kad ATM tertulis nama majikan suspek.

“Namun identiti sebenar mayat tersebut masih belum dapat dikenal pasti, tetapi kita percaya ia merupakan majikan suspek yang dilaporkan hilang.

“Berdasarkan tarikh laporan polis dibuat suspek dan keadaan mayat yang sudah hampir reput, kita percaya ia sudah ditanam lebih sebulan,” katanya.

Osman berkata, berdasarkan maklumat awal, mangsa dipercayai masuk dan menjalankan perniagaan kedai perabot di negara ini sejak 2004.

“Suspek telah ditahan reman hari ini (semalam) manakala isterinya seorang rakyat tempatan berusia 65 tahun yang dikahwininya sejak tiga tahun lalu turut ditahan bagi membantu siasatan.

“Turut ditemui adalah barang kes iaitu sebilah cangkul di rumah suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Sementara itu di Rembau, hajat mangsa hendak membeli gerudi bagi kelengkapan kedai perabotnya di Taman Koperasi KSNS, di sini, tidak kesampaian apabila dia ditemui mati.

Rakan baik Fazli, Miataj Kishnar, 61, berkata, dia sempat bertemu mangsa pada waktu tengah hari apabila dia datang ke kedai miliknya mengajak membeli gerudi.

“Tapi waktu itu saya agak penat jadi saya beritahu dia kita beli esok saja. Tapi esoknya dia langsung tidak menghubungi saya.

“Sehari selepas itu saya cuba menghubunginya menerusi telefon bimbit, namun taliannya tidak dapat dihubungi,” katanya.

Miataj berkata, risau dengan panggilan tidak berjawab, dia kemudian bergegas ke ke kedai mangsa namun dimaklumkan pekerjanya yang dia tiada di situ.

“Saya yang mulai berasa tidak sedap hati memaklumkan berita berkenaan kepada anak mangsa di Pakistan serta turut mencari mangsa,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, kelmarin.