[Video] Brek kereta rosak ragut 4 nyawa

AMPANG – Sepasang suami isteri merupakan antara empat individu yang maut selepas kereta jenis Perodua Viva yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan ngeri di Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran susur Bukit Antarabangsa di sini semalam.

Kemalangan pukul 5.30 petang itu mengakibatkan pemandu kereta, Hasbullah Abdul Ghani, 26, dan isterinya, Nurul Intan Syahida, 22, maut di tempat kejadian.

Turut maut ialah Tengku Ahmad Faiz Tengku Muhamad, 28, dan Asma Ismail, 22.

Tengku Ahmad Faiz dan Asma merupakan sepupu Nurul Intan Syahida. Sebelum kejadian, mereka dalam perjalanan pulang ke kampung di Kuala Terengganu, Terengganu.

Difahamkan, salah seorang mangsa putus kepala. Kejadian itu juga mengakibatkan seorang penunggang motosikal cedera.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, kemalangan dikatakan berlaku apabila sebuah kereta jenis Proton Satria yang turun dari Bukit Antarabangsa gagal mengawal kenderaannya selepas mengalami masalah brek sebelum terlajak ke MRR2.

Katanya, kereta itu kemudian merempuh kabel pembahagi jalan sebelum memasuki laluan menghala ke Gombak.