Tok Gajah kecewakan LionsXII

Kuala Lumpur: Jaringan dramatik lewat permainan Azzamuddin Akil membolehkan Pahang mencatat keputusan seri 1-1 dengan pendahulu Liga Super, LionsXII dalam aksi di Stadium Darulmakmur malam tadi.

Keputusan seri itu pastinya mengecewakan LionsXII yang sudah berkira-kira untuk membawa pulang tiga mata penuh bagi mengukuhkan kedudukan di tangga teratas liga, namun tandukan pemain sayap Azzamuddin memadam gol pendahuluan Pemain Paling Bernilai Piala AFF 2012, Shahril Ishak pada babak pertama.

Biarpun lebih banyak mendominasi permainan sebaik separuh masa pertama bermula, Pahang dikejutkan dengan jaringan pasukan pelawat menerusi sepakan percuma kapten Shahril yang melencong ke sebelah kiri gawang menewaskan Rosfaizul Azuar Ali pada minit ke-11.

Pahang yang dibimbing Dollah Salleh mempunyai peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-34, namun gerakan solo Malik Mat Ariff yang memperdayakan dua pemain pertahanan LionsXII berakhir dengan penyudahan lemah ke tepi jaring.

Pasukan tuan rumah sekali lagi cemas dengan aksi goyah Rosfaizul pada minit ke-38 apabila dia gagal menangkap kemas bola yang memberi peluang kepada Nazrul Nazari melepaskan rembatan namun mujurlah percubaan di depan pintu gol sekadar melepasi palang.

Dua pertukaran serentak dilakukan Dollah pada babak kedua dengan memasukkan Khairul Azhan Mohd Khalid bagi menggantikan Rosfaizul manakala penyerang import dari Argentina, Matias Conti mengambil tempat Malik.

Asakan demi asakan yang diatur jentera serangan Pahang masih gagal menembusi kekebalan benteng pertahanan LionsXII.

Rembatan pemain sayap Azzamuddin Akil pada minit ke-75 dalam kotak penalti berjaya dihalang pemain pertahanan LionsXII manakala Conti kecewa selepas percubaannya ditepis penjaga gol Izwan Mahbud ketika permainan berbaki empat minit untuk tamat.

Namun Azzamuddin membuatkan anak buah V Sundramoorthy berputih mata apabila menjaringkan gol penyamaan pada masa tambahan lima minit yang diberikan pengadil untuk Pahang meraih keputusan seri ketiga dalam tiga perlawanan terakhir liga.