Tewaskan beruang seorang diri untuk selamatkan keluarga

Percutian hujung minggu satu keluarga untuk memerhati burung di Semenanjung Kenai hampir berakhir dengan tragedi apabila seekor beruang perang tiba-tiba menyerang mereka, semalam.

Terdesak untuk menyelamatkan keluarganya, seorang ahli biologi hidupan liar dan penduduk Alaska, Toby Burke terpaksa menghadapi beruang itu hanya dengan tangan kosong.

Burke bernasib baik kerana hanya calar-calar pada badan sebelum anggota keselamatan tiba tidak lama kemudian untuk menembak mati haiwan liar berkenaan. Sebelum itu, Burke, 48, yang bertugas sebagai juruteknik biologi di Pusat Perlindungan Hidupan Liar Kebangsaan Kenai keluar bersama isteri, Laura, serta tiga anak mereka, Grace, 11; Damien, 8; dan Camille, 7 bulan, menuju Pantai Sungai Kasilof.

Dalam suhu sejuk -1 darjah Celsius, mereka leka cuba mengesan burung di udara ketika seekor beruang tiba-tiba muncul kira-kira 400 meter dari mereka.

Kata Burke, beruang itu kelihatan bermasalah dan berdasarkan pengalamannya, dia nampak haiwan berkenaan tidak begitu sihat.

Katanya, dia tidak begitu bimbang pada peringkat awal dan mereka terus memerhatikan burung.

“Tidak lama kemudian, kami tidak melihat beruang itu dan kami meneruskan perjalanan.

“Hanya beberapa detik kemudian, kami nampak beruang itu mula berlari ke arah kami dari jarak kira-kira 15 meter,” katanya. Dalam usaha menakutkan haiwan itu, mereka menggerak-gerakkan tangan masing-masing, selain membuat bising tetapi sebaliknya ia semakin deras berlari.

Menyedari keadaan genting itu, Burke mengarahkan Laura dan anak-anaknya berdiri di belakangnya. Kata Lisa, ketika beruang itu berdepan dengan suaminya, Damien cuba lari tetapi Burke melarang.

“Burke menyuruh kami tidak berpecah,” katanya. Burke kemudian mencapai apa saja yang termampu sebagai senjata – dan tangannya hanya dapat memegang teropong burung yang disambung kepada tripod.

Kata Burke, dia menghalakan teropong ke mulut beruang berkenaan bagi menghalaunya, tetapi gagal.

“Saya kemudian menggunakan kaki tripod yang tajam untuk mencucuk muka haiwan itu tetapi gagal menakutkannya, sebaliknya dia menampar alat itu menyebabkan ia terlepas dari tangan,” katanya.

Dalam keadaan tiada apa-apa di tangan, Burke terpaksa berdepan dengan beruang dan menumbuk muka haiwan itu dengan tangan kanan selepas tangan kirinya ditekan. Selepas bergelut beberapa ketika, beruang itu melarikan diri.