Selangor buang badi seri

SELANGOR akhirnya menamatkan kemarau seri apabila menewaskan Terengganu 2-0 pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam malam tadi.

Kejayaan itu menyaksikan skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim yang seri lima kali pada aksi sebelum ini mengekalkan kedudukan keempat liga selepas mengutip 30 mata.

Selangor menampilkan aksi lebih agresif dengan melancarkan serangan serangan bertali arus ke benteng pertahanan Terengganu.

Penyerang import skuad Gergasi Merah, Francis Forkey Doe meletakkan pasukan tuan rumah di depan apabila menanduk masuk bola hasil satu sepakan penjuru yang diambil Mohd. Raimi Md. Nor pada minit ke-23.

Tersentak dengan asakan Selangor, skuad Penyu yang beraksi tanpa pertahanan import, Vincent Bikana dan Hasmizan Kamaruddin kembali mengatur langkah dengan menyerang balas benteng pertahanan Gergasi Merah.

Percubaan terbaik pasukan pelawat hadir menerusi sepakan percuma Md. Khairul Ramadhan Mohd. Zauwawi, namun berjaya didakap kemas oleh penjaga gol Selangor, Mohd. Sharbinee Allawee Ramli, sekali gus menyaksikan keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, Selangor dilihat menguasai permainan apabila lebih banyak melancar serangan ke kubu pertahanan Terengganu.

Namun, skuad Penyu mula memberikan ancaman kepada barisan pertahanan Selangor menerusi gerakan balas dan hampir berjaya menyamakan kedudukan menerusi Mohd. Fakhrurazi Musa.

Begitupun, dua percubaan terbaik Fakhrurazi sekadar mengegarkan palang gawang skuad Gergasi Merah pada minit ke-56 dan ke-71.

Bekas penyerang Terengganu, Forkey Doe akhirnya menamatkan misi skuad Penyu yang berusaha untuk menyamakan kedudukan apabila meledak gol kedua Selangor pada minit ke-88, sekali gus ia merupakan kemenangan pertama Selangor sejak mencatat keputusan lima seri sebelum ini.