Sedia tawar gaji tinggi kepada Ronaldo

LONDON – Presiden Real Madrid, Florentino Perez bersedia menjadikan Cristiano Ronaldo sebagai pemain yang menerima gaji termahal di dunia dalam usahanya mengekalkan bintang Portugal itu di Santiago Bernabeu selepas ketiadaan jurulatih, Jose Mourinho.

Bekas pemain Manchester United itu kini dikaitkan semula dengan kelab dari Old Trafford itu pada musim panas ini, dan dia turut dilaporkan menjadi buruan kelab kaya dari Perancis, Paris Saint-Germain (PSG).

Begitupun, Perez berazam untuk terus mengekalkannya di Madrid.

Perez berkata: “Saya mahu menjadikan Cristiano Ronaldo sebagai pemain yang menerima gaji termahal di dunia.

“Kami akan melakukan apa saja yang termampu untuk memastikan dia gembira di Madrid.”

Ronaldo mula dilabel sebagai seorang penyerang prolifik sejak perpindahannya ke kelab gergasi Sepanyol itu dengan harga £80 juta (RM368.4 juta) pada 2009 dan setakat ini telah menjaringkan 146 gol dalam 135 perlawanan.

Presiden Real itu turut menegaskan bahawa terdapat beberapa insiden tegang di antara pemain dengan Mourinho musim ini, namun pemain The Galacticos itu tetap menghormati jurulatih yang dikenali sebagai The Special One itu.

“Pemain kelab ini tetap memuji Mourinho. Mereka beritahu saya bahawa dia adalah jurulatih terbaik setakat ini.

“Kami masih belum tahu siapa yang akan menjadi jurulatih baharu. Kami akan berbincang mengenainya pada minggu depan.

“Kami juga mahu Zinedine Zidane mengetuai projek ini,” kata Perez.

Tugas pertama Zidane ialah membawa bintang Tottenham Hotspur, Gareth Bale meskipun Real perlu membayar harga semahal £65 juta (RM299.7 juta). – Agensi