Search dan Loudness bakal gegar Stadium Merdeka

Magis dua tahun lalu bakal berulang dalam skala lebih besar. Peluang berkongsi pentas sekali lagi dengan band heavy metal antarabangsa dari Jepun, Loudness cukup dinantikan vokalis kumpulan Search, Amy.

Kumpulan legenda rock tanah air itu akan berkongsi pentas bersama Loudness dalam konsert Thunder In The East 2013 di Stadium Merdeka pada 30 Jun depan.

Selain Search, konsert anjuran Clockwork Events Malaysia turut dihangatkan dengan persembahan kumpulan Rusty Blade dari Singapura dan band rock legenda Indonesia, Slank.

Tak sabar bertemu idola

Biarpun pernah berkongsi pentas dua tahun lalu pada kunjungan pertama Loudness ke Kuala Lumpur, Amy tetap teruja dan tidak sabar untuk bertemu dengan kumpulan yang cukup dikagumi mereka.

“Loudness menjadi idola kami sejak dulu lagi. Malah kami sering membawakan lagu mereka ketika menyanyi di kelab. Peluang berduet dengan Minarou dua tahun lalu umpama mimpi, saya tidak pernah terfikir akan mendapat peluang begitu.

“Kami memang merancang sesuatu yang istimewa antara Search dengan Loudness pada konsert kali ini. Apa gimiknya, kena nantikan malam itu. Apa yang pasti, konsert ini akan meninggalkan kenangan manis bukan saja kepada peminat, malah kami sendiri,” kata Amy pada sidang media di Kuala Lumpur, semalam.

Dalam konsert itu, Search akan membawa penonton bernostalgia dengan lagu popular mereka dari album pertama hingga kelima. Album itu ialah Cinta Buatan Malaysia, Langit dan Bumi, Mentari Merah Di Ufuk Timur, Fenomena dan Karisma yang diterbitkan dari 1985 hingga 1990.

Bagai festival rock

Pengarah Projek, Iman Tang, berkata Thunder In The East bakal menjadi sebuah konsert hebat mengatasi konsert pertama Loudness pada kunjungan pertama dulu.

Iman berkata, undangan Clockwork Events yang diajukan kepada kumpulan yang cukup popular di Amerika Syarikat (AS) itu mendapat maklum balas baik.

“Kumpulan Loudness sangat gembira dengan sambutan yang amat baik pada kunjungan pertama dulu. Jadi, ketika kami menjemput mereka untuk konsert ini, Loudness segera memberi persetujuan. Anggota Loudness tidak menyangka mereka mempunyai ramai peminat di Malaysia.

“Mengenai band lain, kami memilih kumpulan rock dari Asia yang berpengaruh kerana konsert ini bakal menjadi sebuah festival rock.

Loudness setuju band gandingan

“Search tidak perlu diperkenalkan lagi kepada Loudness. Bagi dua kumpulan lain, kami menghantar profil kepada anggota Loudness dan ternyata mereka gembira dengan gandingan dicadangkan,” kata Iman.

Search dan Loudness ketika konsert Soldier of Fortune Tour di Singapura 1989

Loudness yang ditubuhkan pada 1981 mula dikenali selepas menghasilkan album Inggeris pertama berjudul Thunder In The East pada 1985.

Kumpulan ini dianggotai Minarou Niihara selaku vokalis, Akira Takasaki (gitar solo); Masayoshi Yamashita (bass) dan pemain dram baru, Masayuki Suzuki. Suzuki atau lebih dikenali sebagai Ampan menggantikan pemain dram asal, Munetaka Higuchi yang meninggal dunia akibat barah hati pada 30 November 2008.

Tiket Konsert Thunder In The East berharga dari RM138 hingga RM888. Tiket boleh didapati di www.ticketpro.com.my, manakala maklumat mengenai konsert boleh diperoleh dengan melayari www.clockwork.my.

Jom layan konsert Thunder In The East Tour in The West tahun 1985