Saiful Apek diperintah bela diri tuduhan dadah

SHAH ALAM 22 Mei – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan pelakon komedi, Saiful Apek membela diri atas tuduhan memasukkan dadah jenis kanabis ke dalam badannya, tiga tahun lalu.

Yang turut diperintahkan untuk membela diri atas tuduhan sama ialah tiga rakannya iaitu Shah Zainatul Ehsan Al-Muazam Shah Yahya, 30, Shaiful Baharom, 26, dan Noremy Mohamad, 30.

Kesemua mereka sebelum ini dibebaskan daripada tuduhan terbabit setelah Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 25 Jun 2012 mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Pihak pendakwaan yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu kemudian mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi dan hari ini Hakim Datuk Abdul Alim Abdullah membenarkan rayuan tersebut.

“Saya tidak nampak kelompongan dalam kes pendakwaan. Saya putuskan untuk ketepikan semua perintah Majistret sebelum ini, dalam semua kes bagi kesemua responden dan perintahkan mereka untuk membela diri,” ujar hakim berkenaan.

Beliau yang memutuskan demikian selepas mendengar hujah pihak pendakwaan dan pembelaan, turut memerintahkan kes itu disebut di mahkamah yang sama Isnin ini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Ishrakh Saad manakala Apek dan ketiga-tiga rakannya yang dinamakan sebagai pihak responden diwakili peguam bela, Zambri Idrus.

Saiful Apek atau nama sebenarnya Mohamad Saifulazam Mohamed Yusof, 44, dan rakan-rakannya didakwa memasukkan kanabis ke dalam badan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, Jalan LP 2A/1, Taman Putra Permai, Seri Kembangan di sini pada pukul 11 malam, 12 Jun 2010.

Dakwaan ke atas mereka dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 jika sabit kesalahan.
Sebanyak lapan saksi telah dipanggil memberi keterangan sewaktu perbicaraan di peringkat pendakwaan.

Terdahulu, ketika berhujah, Ahmad Iskrakh mengatakan, kesilapan tarikh pada botol-botol sampel air kencing kesemua responden tidak menjejaskan kes kerana kesilapan itu tidak disengajakan.

Malah, kesemua saksi yang dipanggil telah mengecam dan mengesahkan bahawa sampel air kencing telah diambil pada 12 Jun 2010 dan bukannya 12 September 2010.

Bagaimanapun, Zambri menghujahkan, percanggahan tarikh pada botol-botol sampel itu boleh menimbulkan keraguan mengenai bila sebenarnya sampel air kencing diambil. [Utusan]