Rooney sedia bincang kontrak

MANCHESTER – Penyerang Manchester United, Wayne Rooney dilaporkan bersedia untuk berbincang dengan pengurus, Alex Ferguson berhubung masa depannya di Old Trafford.

Rooney mahu mendapatkan jaminan daripada pengendali kelahiran Scotland itu mengenai peranannya sebelum rundingan lanjutan kontraknya diadakan pada musim panas ini.

Bintang skuad The Red Devils itu yang memiliki pendapatan paling tinggi di United iaitu £250,000 (RM1.17 juta) seminggu, mengakui risau mengenai masa depannya.

Rooney kini bukan pilihan automatik United selepas menyaksikan prestasi cemerlang rakan sepasukan, Robin van Persie yang menjadi pemain utama Ferguson musim ini.

Selepas kerap disisihkan dalam beberapa perlawanan penting, Rooney mengakui peluang untuk beraksi dalam skuad utama semakin tipis sekiranya United berjaya mendapatkan penyerang Borrusia Dortmund, Robert Lewandowski atau bintang Athletico Madrid, Radamel Falcao.

Rooney kini dikaitkan dengan Paris St. Germain, namun Chelsea dan Manchester City dilihat lebih ideal buat penyerang England itu sekiranya United berhasrat untuk melepaskannya.

Dalam perkembangan lain, Ferguson percaya United masih mampu bersaing dengan kelab-kelab gergasi Eropah meskipun tidak memiliki dana yang tinggi.

Beliau turut mengesahkan United kini memburu beberapa bintang kerana juara Liga Perdana England itu berusaha untuk memperkuatkan skuad tersebut bagi menghadapi kempen musim depan.

“Kami bukan seperti Chelsea atau City dalam terma wang tetapi kami sangat kompetitif.

“Kami sudah melakukan beberapa penilaian pemain sepanjang tiga bulan ini dan mengenal pasti pemain mana yang bagus untuk United.

“Saya berharap muka-muka baharu United ini dapat mengekalkan kecemerlangan pasukan selain memenuhi kualiti yang kami perlukan,” ujar Ferguson.