Ronaldo bakal pulang ke Old Trafford

LONDON – Cristiano Ronaldo mengakui sedang bersiap untuk membuat kepulangan sensasi ke Manchester United.

Bintang Portugal itu memberitahu seorang pemain senior United bahawa dia serius untuk kembali ke Old Trafford dan mempertimbangkan sebarang kemungkinan.

Pengurus United, Alex Ferguson pula menegaskan, dia akan meminta sokongan pemilik kelab, keluarga Glazer untuk menjadikan kepulangan bekas Pemain Terbaik Dunia itu pada musim panas nanti satu kenyataan.

Ronaldo, 28, dijual kepada Real Madrid dengan rekod perpindahan 80 juta pound (RM377.83 juta), empat tahun lalu. Begitupun, khabar angin mengatakan United cuba membawa kembali pemain itu dengan harga 65 juta pound (RM307 juta).

Ferguson tidak pernah menyembunyikan minat untuk mendapat semula sentuhan pemain kesayangannya itu tetapi sering menegaskan, perjanjian mungkin sukar untuk dilengkapkan.

Ronaldo masih memiliki kontrak dua tahun di Madrid dan realistik untuk dia meninggalkan gergasi bola sepak Sepanyol itu hanyalah pada hujung musim depan. Dia turut diintai kelab kaya Perancis, Paris Saint-Germain (PSG).

“Glazers sentiasa memberi sokongan setiap kali saya meminta apa-apa, jadi mungkin permintaan kali ini juga tiada bezanya.

“Kalau saya minta pemain tertentu sekarang, saya rasa mereka akan memenuhinya. Kini tiba angin perubahan, saya akan memburu pemain utama dunia kalau dibenarkan,” ujar Ferguson. – AGENSI