Redknapp kekal sebagai pengurus QPR

LONDON – Queens Park Rangers (QPR) mengesahkan, kelmarin bahawa Harry Redknapp akan kekal sebagai pengurus mereka musim depan meskipun kelab London itu tersingkir daripada kancah Liga Perdana Inggeris.

Keputusan seri tanpa jaringan QPR di Reading, Ahad lalu menyaksikan kedua-dua kelab diturunkan pangkat dan spekulasi mengenai masa depan Redknapp, 66, menjadi perbualan hangat apabila pemilik Hoops, Tan Sri Tony Fernandes, seorang usahawan Malaysia berkata, dia akan mengadakan perundingan dengan bekas bos Portsmouth dan Tottenham itu.

Bagaimanapun, Fernandes mengesahkan, kelmarin bahawa Redknapp akan mengekalkan jawatannya di Loftus Road.

“Saya telah mengadakan pertemuan dengan Harry. Saya tidak berasakan terdapat sebarang alasan untuk dia tidak bersama kami dan meneruskan projek yang telah dia mulakan ketika pertengahan musim.

“Harry merupakan individu yang arif mengenai bola sepak dan dia tahu apa yang dimahukan terutama dalam soal pemilihan pemain. Harry juga tidak akan dipaksa untuk menjual mana-mana pemain yang dia mahu kekalkan.

“Kami telah mengadakan perbincangan. Harry merupakan seorang yang sangat pragmatik, begitu juga pemegang saham. Ada beberapa pemain yang kami mahu kekalkan dan kami akan buat yang terbaik bagi memastikan mereka bersama kami. Saya rasa kami mampu lakukan,” kata Fernandes dipetik dalam laman web QPR.

Redknapp yang pernah melalui pengalaman serupa ketika bersama Southampton pada 2005, gagal menyelamatkan QPR daripada tersingkir ketika mengambil alih pasukan sewaktu aksi liga berbaki 22 perlawanan yang mana mereka hanya mampu memungut 21 mata selepas menggantikan Mark Hughes yang dipecat.

Bagaimanapun, katanya, dia bersedia untukmenerima cabaran bagi membawa QPR kembali ke kancah Liga Perdana.

“Kami meminta maaf cara kami menamatkan saingan musim ini. Memang ini satu mala petaka dan amat mengecewakan pemilik, kakitangan, penyokong serta semua orang yang ada kaitan dengan kelab. – AFP