Red Warriors mula tunjuk belang lama

Seremban: Negeri Sembilan terus kempunan untuk mencapai kemenangan pertama musim ini apabila dibelasah Kelantan, 3-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam tadi.

Persembahan kucar kacir dipamerkan jelas bukan tandingan kepada Kelantan yang memperagakan aksi mantap, malah tuan rumah sudah menerima tentangan sebaik wisel dimulakan menerusi gandingan, Ahmad Fakri Saarani, Mohd Nor Farhan dan Mohd Haris Safwan.

Kapten The Red Warriors, Mohd Badri Radzi membuka tirai jaringan untuk pelawat pada minit ke-30 selepas sepakan sudut keduanya yang cantik gagal ditangkap kemas penjaga gol tuan rumah, Hamsani Ahmad.

Leandro kurang berkesan

Kelantan terus melakukan beberapa asakan terutama menerusi Nor Farhan dan Indra Putra Mahyuddin dan mereka hampir menambah jaringan tetapi percubaan dilakukan dapat dihalang Hamsani.

Menyedari sumbangan Leandro Barbosa Fabio kurang berkesan, pengendali skuad Hobin Jang Hobin, Divaldo Alves mengeluarkan penyerang import dari Brazil itu dan menggantikannya dengan Amirul Omar sebaik separuh masa kedua bermula.

Peluang terbaik tuan rumah diperoleh pada minit ke-53, tetapi sepakan deras Ahmad Shakir Md Ali dari luar kotak penanti ditangkap kemas Khairul Fahmi Che Mat.

Namun, Red Warriors meningkatkan serangan dan pada minit ke-73 mereka selesa mendahului 2-0 hasil gerakan solo Indra Putra yang berjaya memerangkap pertahanan tuan rumah.

Episod duka Negeri Sembilan berterusan apabila gerakan solo Nor Farhan pula memerangkap pertahanan Negeri Sembilan apabila menjaringkan gol ketiga Kelantan pada minit ke-81.