Real mahu Gareth Bale

SEPANYOL – Real Madrid sedia memberikan tawaran lumayan kepada Tottenham dalam usaha kelab Sepanyol itu untuk mendapatkan khidmat Gareth Bale.

Bale, pemain Wales telah ditawarkan perjanjian baru yang bernilai 150,000 pound (RM685,000) seminggu untuk dia kekal di Spurs.

Perjanjian tersebut mengandungi syarat yang membolehkan dia meninggalkan kelab pada musim panas dengan nilai 50 juta pound (RM228 juta).

Namun jumlah itu bukan masalah buat presiden Madrid, Florentino Perez, yang mahukan khidmat Bale sekarang.

Perez akan menawarkan Bale bayaran yang lebih tinggi untuk dia menyertai kelab gergasi La Liga itu.

Real membentangkan kontrak lima tahun buat Bale, yang memberi jaminan bakal menyamai apa juga gaji yang bakal diterimanya di White Hart Lane.

Tawaran tersebut juga mengandungi perjanjian iklan yang bakal memberikan dia berjuta-juta pound.
Namun Real menegaskan mereka tidak akan membayar lebih daripada 43 juta pound (RM196.5 juta), jauh lebih rendah daripada apa yang dinilaikan oleh Tottenham.

Madrid menawarkan kepada Spurs empat pemain mereka bersama-sama perjanjian tersebut iaitu Pepe, Marcello, Gonzalo Higuain dan Angel di Maria.

Satu-satunya pemain yang diminati oleh Tottenham adalah Higuain, namun dia tidak akan meninggalkan Bernabeu dan menyertai kelab yang tidak layak beraksi dalam Liga Juara-Juara. – AGENSI