Ramdan takluk Slovakia, dalam kelas tersendiri

Kuala Lumpur: Liew Daren yang dikatakan mampu menjadi pengganti kepada pemain nombor satu negara Datuk Lee Chong Wei kini perlu berhati-hati dengan kebangkitan pemain muda negara Misbun Ramdan Misbun yang membuktikan dia kini berada di kelas tersendiri apabila mula merangkul kejayaan ketika langsung tidak disandarkan harapan bergelar juara pada usianya yang masih muda.

Pemain berusia 22 tahun meneruskan rentak kemenangannya dan terus dahaga memburu gelaran juara selepas menjuarai Kejohanan Antarabangsa Terbuka Portugal, mudah membelasah lawan untuk bergelar juara Terbuka Slovakia, semalam.

Kejuaraan kedua milik juara kebangsaan itu hadir dalam tempoh 25 minit menundukkan lawan dari Perancis Lucas Corvee, 21-11, 21-12.

Diletakkan sebagai pilihan pertama kejohanan, Ramdan memulakan langkah menguasai set pertama apabila mengamalkan corak menyerang untuk menguasai setiap inci gelanggang.

Menduduki ranking ke-60 dunia, Ramdan langsung tidak kekok untuk terus mengekalkan corak permainan pantas untuk menguasai set kedua, 21-12 seterusnya merangkul gelaran antarabangsa kedua.

Dia sebelum itu merangkul kejuaraan pertama kejohanan senior antarabangsa apabila menewaskan pilihan utama Pablo Abian dari Sepanyol di final Kejohanan Antarabangsa Terbuka Portugal, April lalu.

Ramdan mula menunjukkan tanda-tanda akan menjuarai lebih banyak kejuaraan dan akan terus menyertai kejohanan berstatus Cabaran Antarabangsa bagi membiasakan diri dengan kejuaraan di peringkat rendah selain meningkatkan lagi keazaman seseorang pemain untuk memburu kejuaraan lebih tinggi.