Prestasi buruk badminton, Khairy turut bidas BAM

MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar membidas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berikutan prestasi buruk skuad negara pada kejohanan badminton Piala Sudirman 2013.

Skuad negara gagal menempah slot ke suku akhir setelah tumpas 2-3 kepada dua pasukan bukan pilihan, Taiwan dan Jerman pada aksi peringkat kumpulan.

Sambil menyifatkan prestasi itu adalah terburuk dalam sejarah badminton negara, beliau berkata, BAM perlu bertanggungjawab atas kekalahan tersebut dan menggesa badan induk badminton negara itu membuat post-mortem secara menyelu- ruh termasuk dari aspek pembangunan sukan berkenaan.

“Sebagai menteri, saya kecewa dengan kekalahan pasukan negara. Tidak pernah dalam sejarah skuad negara kecundang kepada pasukan yang jauh lebih lemah (atas kertas)… realitinya kita lagi lemah daripada mereka.

“Saya harap BAM memandang serius perkara ini kerana ramai pihak termasuk saya sangsi dengan kebolehan BAM mengendalikan sukan badminton negara pada masa ini,” kata- nya ketika ditemui pemberita di Menara KBS di Putrajaya semalam.

Pada perlawanan Kumpulan C di Stadium Putra, Bukit Jalil semalam, Malaysia sekali lagi dikejutkan apabila tewas 2-3 kepada pasukan bukan pilihan, Jerman, sekali gus meleburkan impian mara ke suku akhir.

Skuad negara turut diaibkan 2-3 oleh Taiwan.

Khairy berkata, pihaknya akan menunggu laporan daripada BAM dan beberapa tindakan serta keputusan berdasarkan bidang kuasa kementerian dijangka diambil terhadap badan induk badminton negara itu.

“Kementerian tidak boleh masuk campur dalam perjalanan persatuan sukan tetapi ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

“Sebagai menteri, saya bertanggungjawab ke atas segala pembangunan sukan dan telah banyak sokongan yang kementerian beri kepada persatuan. Mereka perlu bertanggungjawab kerana soal akauntabiliti itu akhirnya dapat dijawab melalui prestasi,” katanya.

Ditanya mengenai cadangan supaya BAM dirombak, Khairy menggesa BAM melakukan perubahan menyelu- ruh termasuk dari segi struktur dan pembangunan badminton jika mahu menjadikan Malaysia antara gergasi dalam sukan berkenaan.

“Saya tidak dapat berbuat apa-apa (rombakan) sebab bukan kuasa menteri tetapi saya berpendapat, perubahan perlu dilakukan dalam apa jua bentuk… bukan perlu lepas jawatan.
“Saya rasa kekalahan malam tadi (semalam) membawa kepada maksud ‘sudah terang lagi bersuluh’,” katanya.  [Bernama]