Piala FA: 60 ribu tiket khas untuk Tok Gajah

Kelana Jaya: Sebanyak 80,000 keping tiket akan dicetak untuk aksi perlawanan separuh akhir kedua Piala FA membabitkan Pahang menentang Johor Darul Takzim di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok.

Perkembangan terbabit diumum Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) yang bertindak sebagai tuan rumah diperuntukkan 60,000 keping tiket manakala bakinya akan dijual di Stadium Nasional bermula jam 9 pagi ini.

Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) pula membuat permohonan kepada PBNP untuk mendapatkan 40,000 keping tiket bagi membolehkan penyokong Johor DT hadir menyaksikan perlawanan terbabit yang dibatalkan sebelum ini.

“Kami minta 40,000 tiket kerana menjangkakan penyokong Harimau Selatan akan membanjiri Stadium Nasional dan diharap ia mendapat kerjasama PBNP,” kata Setiausaha Kehormat Mohd Fahmy Yahya.

Namun hasrat PBNJ mendapatkan jumlah tiket itu memerlukan kelulusan PBNP selepas badan induk bolasepak negeri berhasrat membawa seramai mungkin penyokong Pahang ke Bukit Jalil.

“Kami perlu bermesyuarat terlebih dulu sebelum meluluskan jumlah dipohon PBNJ kerana keutamaan kami sudah pasti untuk penyokong Pahang. Kami akan mula menjual tiket bermula esok (hari ini) di Kuantan dan Temerloh. Berdasarkan sokongan ditunjukkan, saya yakin kami mampu mendapatkan 60,000 penyokong,” kata Naib Presiden PBNP, Datuk Akbar VV Abu.

Akbar dan Fahmy turut melahirkan keyakinan satu suasana lebih baik membabitkan penyokong Pahang dan Johor DT dengan rekod kedua-dua penyokong pasukan tidak pernah mencetuskan masalah sebelum ini.

Bagaimanapun kehadiran penyokong di Stadium Bukit Jalil akan mendapat kawalan anggota polis dengan pemeriksaan ketat dijalankan di semua pintu masuk selain pemeriksaan dari masa ke semasa di dalam stadium.

“Kita akan membuat persiapan mencukupi dan memastikan keselamatan di Bukit Jalil terjamin. Kami memiliki anggota mencukupi untuk mengawal keadaan dan saya minta kerjasama penonton supaya perlawanan dapat berlangsung dengan lancar,” kata Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohan Singh Tara Singh.