Piala AFC: Selangor mahu menang di Maldives

MALE, Maldives – Semangat Selangor membara untuk menumbangkan kelab Maldives, New Radiant SC dalam perlawanan pusingan kedua Piala AFC, di sini hari ini.

Jurulatih Irfan Bakti berkata, walaupun Selangor mengalami sedikit kemerosotan prestasi dalam saingan Liga Super, dia tetap meletakkan harapan untuk mara sejauh yang mungkin dalam saingan kali ini.

Untuk itu, Irfan mahu menurunkan barisan terbaik di samping kehadiran dua pemain import, Michal Kubala dan Peter Chrappan.

Apa yang pasti, Irfan mahu mengulangi pencapaian Selangor layak ke suku akhir Piala AFC pada 2006.

“Kami datang sejauh 3,000 kilometer untuk sampai ke sini dan membawa nama negara, jadi sudah tentu kami mahu menang dalam apa cara sekali pun kerana ini sahaja satu perlawanan yang akan menentukan nasib Selangor, semua pemain perlu mengambil peluang ini.

“Walaupun kempen kami dalam saingan domestik tidak begitu baik dan layak ke pusingan seterusnya melalui perbezaan gol, itu tidak mematahkan semangat dan keyakinan pasukan.

“Ini adalah perlawanan yang berbeza, jangan lupa sebelum kami bertemu Tampines Rovers pada perlawanan terakhir kumpulan, kami berada dalam situasi lebih kurang sama namun pemain dapat bangkit dan memenangi aksi berkenaan.

“Kami akan terus menyerang semenjak permainan bermula bagi mendapatkan gol dan tidak mahu tunggu sehingga tambahan masa atau penentuan sepakan penalti,” katanya pada pada sidang akhbar pengurus kedua-dua pasukan di Stadium Rasmee Dhandu, semalam.

Dibimbing oleh jurulatih dari Bulgaria, Velizar Popov, New Radiant pernah mara ke peringkat separuh akhir Piala AFC 2005 dan dianggap antara pasukan yang mampu memberi cabaran kepada Red Giants apabila menang lima daripada enam perlawanan pada peringkat kumpulan.

Atas hakikat itu, Irfan mengakui mereka tidak boleh memandang rendah akan kemampuan juara enam kali Liga Maldives itu di samping mengetahui ada tujuh pemain kebangsaan negara itu beraksi bersama New Radiant.

“New Radiant adalah lawan yang kuat dan setahu saya mereka pernah kalahkan Persibo Bojonegoro (kelab Indonesia) 7-0 di peringkat kumpulan berbanding kami yang bernasib baik layak.

“Lawan memiliki ramai pemain tempatan yang bagus dan kekuatan mereka terletak di bahagian sayap yang mungkin boleh memberikan masalah kepada kami, jadi pergerakan mereka perlu dibataskan,” katanya.

Saksikan live stream di sini.