Petunjuk baru kes tembak Shaharuddin

Kuala Lumpur: Polis mendapat petunjuk baru berhubung kes pembunuhan Timbalan Ketua Pengarah Kastam Datuk Shaharuddin Ibrahim pada 26 April lalu dan yakin dapat mengesan serta memberkas suspek yang menembak mangsa ekoran penahanan dua ejen penghantaran barangan import.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata, hasil siasatan setakat ini menunjukkan perkembangan positif dengan dua tangkapan sudah dibuat termasuk seorang suspek berusia 56 tahun yang kini direman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan.

“Tangkapan terbaru dibuat semalam (kelmarin), seorang lelaki berusia 37 yang juga ejen pengimport alat gantian kenderaan dan kami akan membawa suspek ke mahkamah hari ini (semalam) untuk mendapat permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membantu siasatan.

“Dengan penahanan individu terbabit, polis mendapat beberapa petunjuk baharu dan bekerja keras memburu dua lagi suspek utama yang menembak mangsa, namun proses siasatan mungkin mengambil masa lama,” katanya.

Menurutnya, ketika ini, kedua-dua suspek yang ditahan tidak mempunyai kaitan atau hubungan secara langsung dengan mangsa, tetapi polis yakin mereka dapat membantu siasatan, sekali gus mengenal pasti motif kejadian dan mengesan suspek lain.

Sementara itu, mengenai perkembangan kes dua lelaki yang cedera ditembak dalam kejadian di Jalan Budiman, Bandar Tun Razak, di sini, Ahad lalu, beliau berkata, berdasarkan siasatan terhadap empat suspek yang ditahan sehingga kini mendapati mangsa mengenali semua suspek. [MyMetro]