Penunggang bogel ditangkap

Chiang Mai: Seorang lelaki yang menunggang motosikal dengan berbogel di banda raya ini ditangkap selepas polis mengetahui mengenai kegiatannya menerusi klip video yang dimuatnaikkan dalam laman sosial media.

Polis mengambil masa lima jam untuk menangkap lelaki berkenaan selepas perbuatan lelaki itu muncul di laman web pagi kelmarin.

Lelaki terbabit, Jetpol Chanboontawee, 24, akan dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan berkelakuan tidak senonoh.

Jurucakap polis tempatan, Chamnan Ruodreaw berkata, pihaknya melancarkan siasatan terhadap kes berkenaan selepas menerima aduan daripada orang ramai yang menonton klip video itu.

Polis menjejaki Jetpol dengan mengesan alamat IP individu yang memuat naik video itu. Individu terbabit kemudian mengenalpasti Jetpol sebagai penunggang motosikal itu.

Jetpol yang mengaku melakukan perbuatan itu pada 30 April lalu berkata, dia dicabar dan ditawar hadiah Bt1,000 (RM100) oleh rakannya untuk berbuat demikian.  [Bangkok Post]