Pengembara Belanda diselamatkan selepas terkandas di Lautan Hindi

SYDNEY – Seorang pengembara Belanda yang sedang dalam misi berdayung dari Australia ke Afrika telah berjaya diselamatkan di Lautan Hindi hari ini selepas tercedera ekoran bertembung dengan laluan kapal tangki minyak pada Rabu lalu.

Ralph Tuijn, 36 sedang dalam pengembaraan sejauh 9,000 kilometer dan selama 120 hari dari barat Australia ketika botnya mengalami kegagalan fungsi.

Wakil pihak Keselamatan Maritim Australia (AMSA) melaporkan, misi menyelamat telah dimulakan pada awal Jumaat selepas beberapa buah kapal dagang Myanmar yang berhampiran menyedari isyarat suar kecemasan Tuijn.

“Dia kini sedang dirawat dan selamat berada di salah sebuah kapal dagang. Pihak kami juga mendapat laporan bahawa beliau cedera namun kami masih tidak dapat memastikan tahap kesihatan sebenar beliau lagi,” kata wakil pihak AMSA.

Selain itu, wakil pihak AMSA turut berkata, terdapat beberapa tulang rusuk Tuijn yang patah selain menyifatkan beliau amat bertuah kerana berjaya diselamatkan daripada berada di tengah-tengah lautan Hindi iaitu kira-kira 1,100 batu nautika di barat Pulau Cocos. – AFP