Penentuan Jaguh Liga Premier

PERTEMBUNGAN antara Sarawak dengan Sime Darby Jumaat ini, bakal menjadi penentu siapa yang bakal menjuarai Liga Premier musim ini.

Sime Darby kini mendahului carta liga dengan mengumpul 39 mata selepas mengharungi 15 perlawanan sementara Sarawak ketinggalan dua mata untuk menduduki tempat kedua liga.

Biarpun kelebihan kini memihak kepada Sime Darby, namun pendahulu Liga Premier itu seharusnya berwaspada dengan ancaman Bujang Senang ketika bertandang di gelanggang lawan kelak.

Sarawak memiliki rekod cemerlang di Stadium Negeri Kuching dan setakat ini mereka berjaya meraih 21 mata ketika beraksi di laman sendiri.

Untuk rekod, skuad kendalian Robert Alberts itu hanya gagal sekali untuk meraih tiga mata penuh ketika seri 1-1 dengan Kedah pada 12 April lalu.

Justeru, jurulatih Sime Darby, Ismail Zakaria tanpa berselindung mengakui rekod cemerlang Sarawak di laman sendiri itu tidak akan menjejaskan misi mereka untuk memburu tiga mata penuh.
Ismail mendedahkan, Sime Darby akan berjuang habis-habisan untuk mengekalkan rekod tanpa mereka setakat ini.

“Pertemuan ini bukan lagi untuk melihatkan siapa yang akan layak Liga Super musim depan, tetapi ia akan menentukan pasukan mana yang lebih ‘kebal’.

“Sejujurnya, saya tidak mahu rekod Sime Darby dimusnahkan ketika kami bertandang ke Sarawak kelak.

“Kami menyedari bahawa pasukan saya berdepan dengan satu tugasan yang mencabar kerana peluang untuk meraih tiga mata penuh di Stadium Negeri di Kuching bukan satu tugas yang mudah.

“Sime Darby memang mahu layak ke pentas Liga Super dengan berbekalkan satu rekod bersih (tanpa kalah), dan saya percaya berbekalkan semangat dan komitmen itu, kami akan berusaha mempamerkan aksi lebih positif nanti,” katanya  kelmarin.

Pada masa yang sama, Ismail turut menggesa anak-anak buahnya agar tidak memandang rendah terhadap kemampuan pasukan bawahan liga selepas perlawanan menentang Sarawak kelak.

Beliau menyifatkan pasukan-pasukan bawahan liga ini sebagai ‘pengacau’ dan mampu mengubah kedudukan Sime Darby jika mereka mengambil sikap sambil lewa pada aksi akan datang.

“Bukan sahaja Sarawak, tetapi Sime Darby harus fokus kepada seluruh pasukan dalam Liga Premier.
“Ini kerana, mereka boleh mengubah kedudukan kami pada bila-bila masa. Jika kami mengambil mudah, tidak mustahil Sime Darby akan mencatatkan kekalahan pertama nanti.

“Inilah bola sepak, kamu tidak boleh memandangkan rendah kemampuan mana-mana pasukan kerana ‘kejutan’ sentiasa berlaku. Jadi, saya mahu anak-anak buah saya sentiasa bersedia,” katanya.