Pemain Johor DT tak komited!

Johor Bahru: Dua kekalahan berturut-turut Johor Darul Takzim tampak mengundang rasa marah Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menyuarakan rasa kesal, semalam betapa dia ‘tersalah beli segelintir pemain’ yang tiada hati dan semangat berjuang untuk pasukan diwakili.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) itu meluahkan rasa duka cita dengan persembahan longlai ditunjukkan anak didik Fandi Ahmad selepas kecundang kepada Tentera 2-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, kelmarin.

“Apa yang saya perhatikan, ada pemain yang tidak mempunyai hati dan semangat untuk berjuang demi pasukan selain meletakkan diri sendiri sebelum pasukan.

Tindakan wajar

“Saya mengakui berasa kesal membeli beberapa pemain yang tidak menunjukkan kesungguhan dan akan mengambil tindakan wajar Disember ini,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Tunku Ismail bagaimanapun tidak menyalahkan jurulatih, Fandi atau pun pihak pengurusan pasukan yang menjadi punca kekalahan itu malah pada sesi latihan beliau berada di padang dan menyaksikan sendiri segala usaha dilakukan terutama perancangan taktikal.

“Pelbagai kemudahan latihan sudah disediakan bagi manfaat pemain termasuk sesi video taktikal selain perbincangan bersama jurulatih (Fandi) namun semua keputusan sama ada untuk menang atau kalah terletak kepada kehendak kesebelasan utama yang beraksi di padang,” katanya.

Dalam kenyataan media itu, Tunku Ismail berkata beliau bertanggungjawab sepenuhnya di atas kekalahan itu dan berjanji akan melakukan ‘post-mortem’ mengenal pasti punca kekalahan itu yang seharusnya mampu dielak pada aksi liga elit domestik.

Kekalahan itu memberi tamparan buat skuad Harimau Selatan apabila tumpas pada dua perlawanan berturut-turut selepas tewas 3-0 kepada Perak di Stadium Lumut, 27 April lalu.

Bagaimanapun, Tunku Ismail tetap meletakkan harapan tinggi meneruskan usaha merebut kejuaraan sama ada Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia berbekal perancangan masa depan dengan hanya mengambil pemain yang komited serta berazam menaikkan nama Johor DT.

“Apa pun saya berterima kasih kepada penyokong Johor atas semangat ditunjukkan selama ini dan penyokong juga berhak mengetahui perkembangan dalam pasukan. Saya akan pastikan PBNJ melakukan segala usaha memperbaiki kelemahan,” kata Tunku Ismail.